Penentuan Pengurusan Setiap Jenis Pusaka

by | Jun 9, 2023 | Estate Management, Featured, Law

Apabila terdapat ahli keluarga yang meninggal, permasalahan yang sering kali timbul adalah berkaitan dengan perebutan dan pengurusan harta pusaka. Justeru, hal ini juga turut menyebabkan ramai pihak yang bermasam muka dan tidak bertegur-sapa apabila berkaitan dengan harta pusaka, terutamanya dalam kalangan adik-beradik sendiri. Menurut syarak, hukum menguruskan harta pusaka adalah fardhu kifayah. Ianya dapat dilihat berdasarkan kepada firman Allah S.W.T di dalam Surah An-Nisa ayat 11 yang menyatakan bahawa bagaimana perlaksanaan dan pembahagian harta dibuat bagi setiap ahli waris.

 

Untuk membicangkan siapa yang berhak mendapatkan harta pusaka tersebut dan siapa yang perlu menguruskannya, perlu difahami terlebih dahulu bahawa apa yang dimaksudkan dengan pusaka. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, pusaka boleh diertikan sebagai segala jenis harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal untuk diwarisi oleh keluarganya. Sejurus sahaja pemilik harta itu meninggal dunia, hartanya akan terus dikategorikan sebagai harta pusaka.

 

Harta juga terdiri daripada dua bentuk iaitu harta tidak alih dan harta alih. Harta tidak alih ialah harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti tanah, bangunan, kebun, ladang dan rumah, manakalah harta alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah bentuknya seperti wang ringgit, barangan perniagaan, saham, akaun simpanan bank, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, peralatan rumah, kenderaan, senjata api, barang kemas, ASB dan sebagainya. Harta pusaka pula terdiri daripada dua status iaitu Harta Pusaka Bukan Islam dan Harta Pusaka Islam.

 

Kebanyakan pihak masih lagi keliru ke mana mereka harus pergi dan kepada siapa perlu mereka rujuk bagi menguruskan harta peninggalan si mati. Antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh waris bagi menguruskan harta pusaka adalah penentuan jumlah nilaian harta si mati. Hal ini disebabkan prosedur bagi pengurusan harta pusaka bergantung kepada jumlah nilai harta pusaka tersebut. Ianya amat penting supaya waris yang ingin menguruskan harta tersebut tidak mengikut prosedur yang salah kerana terdapat tiga jenis harta pusaka yang berbeza yang perlu diambil tahu oleh waris-waris yang ingin mengurus harta si mati.

 

Penentuan bagi pengurusan setiap jenis pusaka boleh dilihat seperti yang dinyatakan di bawah berdasarkan jumlah nilaian harta:

 

  1. Harta Pusaka Ringkas

Apa yang perlu diketahui oleh waris ataupun mereka yang berniat untuk menguruskan harta pusaka ringkas ialah, ianya boleh dibuat kepada Amanah Raya Berhad berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 [Akta 532]. Harta pusaka ringkas adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati dalam bentuk harta alih dimana jumlah keseluruhannya tidak melebihi RM 600,000.

Jika si mati mempunyai beberapa kos yang perlu dijelaskan seperti kos pengebumian, baki hutang yang belum dijelaskan dan sebagainya, semua akan diuruskan oleh Amanah Raya Berhad sebelum harta-harta tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris. Pembahagian akan dilaksanakan sama ada mengikut faraid bagi orang Islam dan Akta Pembahagian 1958 [Akta 300] bagi orang bukan Islam. Pembahagian juga boleh dibuat secara muafakat tertakluk kepada persetujuan semua waris. Jumlah fi yang dikenakan bagi pengurusan harta oleh Amanah Raya Berhad adalah bergantung kepada jumlah yang telah ditetapkan oleh perbadanan tersebut.

 

  1. Harta Pusaka Kecil

Pengurusan Harta Pusaka Kecil adalah tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]. Harta Pusaka Kecil adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati dalam bentuk harta tak alih sama ada sebahagian atau keseluruhannya dengan nilaian di bawah RM 2,000,000. (*terdapat pindaan pada Seksyen 3 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 [Akta A1643] yang menaikkan jumlah tersebut kepada RM 5,000,000. tetapi belum dikuatkuasakan).

Bagi permohonan untuk menguruskan harta pusaka kecil boleh dibuat di Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) atau Pejabat Tanah dimana terletaknya harta tak alih si mati. Misalnya jika si mati mempunyai beberapa hakmilih tanah yang berbeza di mana-mana negeri maupun daerah, waris boleh membuat permohonan dengan memilih hanya satu daerah ataupun negeri yang memudahkan mereka untuk berurusan. Semua harta pusaka si mati yang terletak di luar daerah atau negeri yang sama akan mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk menyelesaikan permohonan pertama yang dibuat di daerah atau negeri tersebut.

 

  1. Harta Pusaka Besar

Harta pusaka besar adalah harta peninggalan si mati dimana jumlah hartanya melebihi RM 2,000,000. Prosedur ini juga terpakai bagi mereka yang bukan beragama Islam yang meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 [Akta 364]. Terdapat dua peringkat yang mesti disempurnakan dalam membuat permohonan pengurusan harta pusaka iaitu Permohonan mendapatkan Grant of Letter of Administration (Surat Kuasa Mentadbir) dan Permohonan untuk dapatkan Perintah Pembahagian. Seterusnya, waris perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian ini di Mahkamah Tinggi.

Kesimpulannya, harta pusaka hendaklah diuruskan dengan baik terutamanya kepada waris-waris yang mempunyai kepentingan terhadap harta tersebut. Soal siapa yang perlu bertanggungjawab menguruskan harta pusaka tersebut perlulah dibincangkan terlebih dahulu bersama ahli waris yang masih hidup dan juga mereka yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka tersebut supaya tidak ada perselisihan faham di kemudian hari. Adalah lebih baik bagi mereka yang masih hidup untuk membuat wasiat terlebih dahulu, supaya apabila sudah tiada nanti, harta-harta yang ada dapat diuruskan dan dibahagikan kepada waris yang masih hidup dengan lebih mudah.

 

Disediakan oleh:

Syed Syahir Syazwan bin Syed Asmawi

Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang & Syariah

Untuk Tetuan Amir Khusyairi & Associates

Share This