Bolehkah melewatkan urusan penyempurnaan pendaftaran bagi Hartanah Strata?
Pemilikan hartanah strata di Malaysia memerlukan pemilik didaftarkan di dalam Geran Strata yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
Sekiranya anda membeli Hartanah Strata, Geran Strata mungkin masih belum dikeluarkan pada masa milikan kosong atau kunci diberikan. Kebiasaannya, Geran Strata hanya akan diperolehi selepas beberapa tahun milikan kosong diberikan di mana pemaju atau peguam pemaju akan menghubungi anda memaklumkan kepada anda bahawa Geran Strata telah dikeluarkan dan anda hendaklah menyempurnakan pindah milik.
Jadi, apa yang perlu dibuat oleh and selepas itu?
Apabila, pemaju atau peguam pemaju memaklumkan kepada anda bahawa anda perlu menyempurnakan pendaftaran Geran Strata, anda perlu menandatangani Borang Pindah Milik dan juga Borang Pendaftaran Gadaian sekiranya Hartanah tersebut dibeli dengan pinjaman Bank. Untuk proses ini anda juga perlu menyediakan sebanyak 2% ke 3% bayaran daripada jumlah harga belian rumah untuk kos peguam, pendaftaran, duti setem dan lain-lain. Anda dinasihatkan untuk melantik peguam untuk menyempurnakan proses penyempurnaan pindah milik tersebut.
Isu yang timbul sekiranya anda melewatkan pendaftaran Geran strata?
- Akan menyukarkan proses pindah milik sekiranya Pemaju bankrap/digulungkan.
- Mengganggu urusan jual beli sekiranya Hartanah Strata tersebut hendak dijual kepada pihak lain.
- Tidak mempunyai kuasa mengundi atau terlibat dengan urusan pengurusan perbadanan.
Secara kesimpulan, apabila telah dimaklumkan oleh pemaju atau peguam pemaju bahawa Geran Strata telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah, segeralah membuat pendaftaran pemilikan strata tersebut.
Perlu ingat bahawa berdasarkan sistem hartanah di Malaysia, pemilikan anda tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekiranya Geran bagi sesuatu Hartanah adalah didaftarkan dengan nama anda. Bahasa mudahnya, sekiranya nama anda merupakan nama di dalam Geran Hartanah tersebut, maka anda lah pemiliknya dan memberikan anda kuasa sepenuhnya untuk berurusan dengan Hartanah tersebut.
Recent Comments