fbpx

Kebolehterimaan Keterangan Mangsa Kanak-kanak oleh Mahkamah: Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017(Akta 792)

by | Jul 27, 2022 | Featured, Law

Kebolehterimaan Keterangan Mangsa Kanak-kanak oleh Mahkamah: Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017(Akta 792)

Kes penderaan atau gangguan seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat telah mengancam keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Terdapat pelbagai kesan daripada kejadian seperti ini kepada mangsa seperti trauma, masalah mental dan depresi sedangkan mereka seharusnya menjadi harapan bangsa. Namun, dalam sesetengah kes, pemangsa kepada kanak-kanak ini tidak dapat didakwa atas kesalahan yang dilakukan disebabkan oleh isu kebolehterimaansaksi kanak-kanak yang merupakan mangsa dan juga saksi utama di dalam kes jenayah kesalahan-kesalahan seksual tersebut. Persoalannya adakah keterangan seorang kanak-kanak boleh diterima oleh institusi mahkamah bagi mendakwa seorang tertuduh. Berdasarkan Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2001(Akta 611), kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun dan berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan. Pada 13 Februari 1995, Malaysia telah meratifikasikan konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak atau Convention on Right of Children (CRC) yang telah mengiktiraf hak kanak-kanak pada peringkat antarabangsa. Salah satu daripada hak yang termaktub dalam konvensyen ini adalah hak mendapatkan   perbicaraan  yang adil dan  saksama   di bawah  sistem perundangan, termasuk hak memberikan keterangan sebagai saksi dalam mana-mana perbicaraan. Artikel 12 CRC menyatakan bahawa kanak-kanak mestilah diberikan peluang untuk didengar dalam apa apa prosiding yang melibatkan kepentingan kanak-kanak, samada prosiding undang-undang ataupun pentadbiran. Bertitik tolak kenyataan di atas, terdapat dua akta yang memberi panduan berkaitan isu penerimaan keterangan saksi kanak-kanak iaitu Akta Keterangan 1950 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

 

Perbezaan definisi kanak-kanak dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007

 

Terdapat perbezaan antara definisi kanak-kanak dalam Akta Kanak-Kanak 2001(Akta 611) dan saksi kanak-kanak dalam Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007(Akta 676) dimana di bawah Akta 611, umur yang ditetapkan adalah bawah 18 tahun. Manakala dibawah Akta 676, kanak-kanak adalah seseorang yang di bawah umur enam belas tahun yang dipanggil atau dicadangkan untuk dipanggil untuk memberi keterangan dalam mana-mana prosiding tetapi tidak termasuk seorang tertuduh atau seorang kanak-kanak yang tertuduh atas mana-mana kesalahan. Ini menunjukkan, untuk tujuan memberikan keterangan, Akta 676 akan diaplikasikan apabila kanak-kanak tersebut berumur 16 tahun ke bawah. Sekiranya kanak-kanak tersebut berumur lebih 16 tahun, Akta 676 tidak akan terpakai sebaliknya Akta Keterangan 1950 akan terpakai untuk saksi tersebut.

 

Akta Keterangan 1950

 

Seksyen 118 Akta Keterangan 1950 telah menyatakan bahawa semua orang berwibawa untuk memberikan keterangan melainkan jika mahkamah berpendapat bahawa mereka tidak boleh memahami soalan yang dikemukakan kepada mereka atau tidak dapat memberikan jawapan yang rasional kepada soalan itu oleh sebab umur terlalu muda, terlalu tua, penyakit, sama ada penyakit tubuh atau penyakit otak, atau oleh apa-apa sebab lain yang seumpamanya. Berdasarkan seksyen tersebut, tidak dapat disangkal bahawa umur yang terlalu muda merupakan faktor untuk mahkamah menolak keterangan yang diberikan. Oleh itu, jika kanak-kanak dalam kes ini tidak dapat memahami soalan atau tidak dapat memberi jawapan rasional, kanak-kanak tersebut boleh menjadi seseorang yang tidak boleh memberikan keterangan. Selain itu, Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 menyebut jika keterangan diberi oleh kanak-kanak yang masih mentah sebagai saksi, dan kanak-kanak tersebut tidak, pada pendapat mahkamah, memahami apa sebenarnya sesuatu sumpah itu, keterangannya boleh diterima, walaupun diberikan dengan tidak mengangkat sumpah, jika, pada pendapat mahkamah, dia mempunyai akal yang cukup bagi mewajarkan penerimaan keterangannya itu, dan dia faham tentang kewajiban bercakap benar; dan keterangannya, walaupun diberikan dengan tidak mengangkat sumpah, tetapi selainya diambil dan diubah ke dalam bentuk bertulis menurut Seksyen 269 Kanun Prosedur Jenayah. Proviso kepada seksyen ini menyebut syarat bahawa jika keterangan yang diterima menurut kuasa seksyen ini diberikan bagi pihak pendakwaan, tertuduh itu tidak boleh disabitkan atas kesalahan itu melainkan jika keterangan itu disokong dengan keterangan material lain yang menyokong keterangan tersebut dan melibatkannya. Dengan kata lain, keterangan kanak-kanak yang masih mentah boleh diterima walaupun tanpa sumpah dengan syarat keterangan tersebut haruslah disokong dengan keterangan lain seperti keterangan pegawai perubatan.

 

Pada dasarnya, mahkamah haruslah meneliti dan membuat pemeriksaan awal untuk mengenal pasti samada kanak-kanak tersebut berkebolehan untuk memberi keterangan  di mahkamah. Selepas pemeriksaan yang teliti, mahkamah berpendapat kanak-kanak tersebut samada faham erti sumpah, atau jika kanak-kanak tersebut tidak faham erti sumpah tetapi beliau faham tentang kewajipan untuk bercakap benar beliau akan diberi peluang untuk memberi keterangan tanpa sumpah atau mahkamah berpendapat kanak-kanak tersebut tidak langsung mampu memberi keterangan di mahkamah. Apabila kanak-kanak berjaya memberi keterangan, sekiranya bersumpah, tertuduh boleh disabit kesalahan. Tetapi sekiranya keterangan diberi tanpa sumpah, keterangan sokongan diperlukan sebelum tertuduh disabit kesalahan. Mahkamah di dalam kes Sidek bin Ludan v Public Prosecutor, “This amendment distinguishes between the testimony of a sworn and an unsworn child witness. In the case of a sworn child witness the old rule of prudence applies, viz, the need to give an exhaustive warning on the dangers of convicting on such uncorroborated evidence. Whereas in the case of an unsworn child witness, s 133A of the Act applies.” Aplikasi Seksyen 133A dapat dilihat di dalam kes  Pendakwaraya v. Gurdial Singh a/l Pretum Singh [2002] MLJ 429 dimana keterangan saksi kanak-kanak yang berumur sembilan tahun tidak diterima oleh mahkamah walaupun mempunyai kebijaksanaan yang mencukupi untuk memberi keterangan kerana beliau tidak memahami erti sumpah. Saksi tersebut perlu memberi keterangan tanpa sumpah lalu menyebabkan keterangannya perlu disokong oleh keterangan yang lain sebelum sabitan boleh dibuat terhadap tertuduh.

 

Rasional keperluan keterangan sokongan kepada keterangan kanak-kanak berasas daripada faktor umur dan tahap kematangan kanak-kanak itu sendiri. Mahkamah Persekutuan dalam kes Din v Public Prosecutor [1964] MLJ 300 FC memutuskan “… We must not forget that we are here dealing with the evidence of a child of tender years who is involved in an allegation of rape where even if she is an adult requires corroboration because a woman has a temptation to exaggerate an act of sexual connection, and for a child of tender years for his or her known aptitude to confuse fact with fantasy”. Ini bermaksud kanak-kanak mempunyai kecenderungan untuk menjadi keliru antara realiti dan fantasi. Oleh itu penting untuk keterangan sokongan diberikan supaya dapat memberi kepastian tentang keterangan kanak-kanak tersebut. Seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 133A Akta Keterangan 1950, keterangan sokongan diperlukan apabila saksi memberi keterangan tidak bersumpah.

 

Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017

 

Walau bagaimanapun, berdasarkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017(Akta 792) yang telah digubal dan berkuatkuasa pada 10 Julai 2017, terdapat dua seksyen di bawah bahagian VI berkaitan isu keterangan kanak-kanak sebagai mangsa dalam kes gangguan seksual yang menjadi pengecualian atau ‘exception to the general rule’. Seksyen pertama adalah Seksyen 17 yang menyebut walau apa pun apa-apa berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis orang lain, dalam mana-mana prosiding terhadap mana-mana orang berhubungan dengan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, atau mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, seseorang kanak-kanak dianggap kompeten untuk memberikan keterangan melainkan jika mahkamah berpendapat selainnya. Oleh itu, untuk keterangan seorang mangsa kanak-kanak diterima dalam prosiding, kanak-kanak tersebut dianggap sebagai kompeten. Ini adalah suatu anggapan bahawa kanak-kanak tersebut adalah kompeten sehingga anggapan ini dibantah oleh mahkamah. Di samping itu, Seksyen 18 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 menyatakan bahawa walau apa pun apa-apa berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis orang lain, dalam mana-mana prosiding terhadap mana-mana orang berhubungan dengan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, atau mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, mahkamah boleh mensabitkan orang itu bagi kesalahan itu berasaskan keterangan tanpa sokongan seorang kanak-kanak, yang diberikan dengan sumpah atau selainnya.

 

 

Perbandingan antara Akta Keterangan 1950, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

 

Jika diteliti dengan lebih mendalam, terdapat dua segi perbandingan yang dapat dibuat antara peruntukan akta-akta tersebut. Pertama daripada segi kedudukan atau status kanak-kanak dalam sesuatu kes iaitu sebagai saksi atau mangsa. Kedua adalah daripada segi keperluan keterangan sokongan apabila keterangan oleh kanak-kanak diberi tanpa sumpah. Berkaitan dengan perbandingan pertama, kedudukan kanak-kanak di dalam Akta Keterangan 1950 adalah lebih kepada kedudukan beliau sebagai seorang saksi dan tak semestinya juga sebagai mangsa. Tetapi dalam Akta 792, jelas dapat dilihat bahawa peruntukan tersebut adalah untuk kanak-kanak yang merupakan mangsa dalam kes tersebut. Ini dapat dikaitkan juga dengan perbandingan kedua di mana jika diperhatikan, peruntukan seksyen 18 Akta 792 adalah bertentangan dengan Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 yang memerlukan keterangan sokongan untuk keterangan kanak-kanak tanpa sumpah. Berdasarkan bahagian pertama Seksyen 18, jelas menunjukkan frasa ‘walau apa pun apa-apa berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis orang lain’. Ini bermakna, jika kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan di bawah Akta 792, atau mana-mana kesalahan dinyatakan dalam jadual, seksyen 18 mengatasi Seksyen 133A dalam Akta Keterangan 1950. Oleh itu, secara kesimpulan untuk isu ini, sekiranya kanak-kanak tersebut memberi keterangan sebagai mangsa, Seksyen 17 dan 18 Akta 792 akan mengatasi Akta Keterangan 1950 dimana walaupun keterangan tersebut diberikan tanpa sumpah, tertuduh boleh disabit kesalahan walaupun tiada keterangan sokongan. Namun, jika kanak-kanak memberi keterangan adalah sebagai saksi sahaja dan bukan mangsa, Seksyen 133A akan diaplikasikan dimana keterangan sokongan masih diperlukan bagi keterangan tanpa sumpah.

 

Terdapat beberapa kes yang berkaitan dengan keterangan kanak-kanak sebagai mangsa sebelum penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017. Pertama adalah kes Dabal bin Anding @Dabal Dharu lwn PP (1994) 2 CLJ383 dimana pihak tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan jenayah ke atas murid 8 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Tertuduh telah didapati menggesel alat sulit beliau ke atas alat sulit mangsa. Namun mahkamah memutuskan bahawa tertuduh tidak bersalah kerana pihak mangsa gagal memberi keterangan berkenaan lokasi kejadian. Mahkamah memutuskan keterangan kanak-kanak perlu disokong oleh keterangan yang lain memandangkan mangsa masih lagi kecil dan tidak mempunyai kecerdasan yang mencukupi untuk menyebabkan sabitan kesalahan melalui keterangannya. Ini menunjukkan posisi mengikut Akta Keterangan 1950 sebelum penggubalan Akta 792 yang membezakan kedudukan kanak-kanak mangsa dan saksi semata mata. Selain itu, kes berikutnya adalah kes Mohd Yusof Rahmat lwn PP [2009] 2 CLJ 673. Dalam kes ini, tertuduh telah didapati merogol kanak-kanak berusia lima tahun di rumahnya. Mangsa merupakan pelajar tadika yang dikendalikan oleh isteri tertuduh di tingkat bawah rumah tersebut. Mangsa telah memberi keterangan tentang perbuatan tertuduh terhadapnya. Namun mahkamah memutuskan bahawa fakta yang diberikan oleh pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk menyokong pertuduhan rogol tersebut. Mahkamah juga sekali lagi menekankan bahawa oleh kerana umur mangsa yang terlalu muda, keterangan sokongan diperlukan untuk menyokong tuduhan yang dibuat oleh mangsa.

 

Ini dapat dibandingkan dengan kes Lim Guan Eng v PP & Other Appeals [1998], di mana Mahkamah Rayuan menyatakan seperti berikut “…At common law, a trial court is entitled to act upon uncorroborated evidence which in itself requires corroboration provided that it warns itself of the danger of so acting. The warning must not amount to mere lip service. Good reasons must be furnished for departing from the accepted rule…”. Berdasarkan kes ini, dapat difahami bahawa sekiranya mahkamah  yakin bahawa terdapat justifikasi kuat, mahkamah boleh menerima keterangan tanpa sokongan walaupun keterangan tersebut memerlukan keterangan sokongan. Tambahan lagi, berdasarkan kes Maniam Santhiran v PP [2010], mahkamah merujuk kes Vahula Bhushan alias Vehuna Krishnan v State of Tamil Naidu, AIR[1989]  Supreme Court 236 yang menyatakan “It has been urged on behalf of the appellant that the courts below should not have convicted the accused on the sole testimony if PWI as the same was not corroborated by the evidence of any other witness. This contention is unsustainable in as much as there is no rule of law that the testimony of a single witness cannot be accepted and the conviction cannot be based on such evidence, if believed. The testimony of a single witness if it is straight-forward, cogent and if believed is sufficient to prove the prosecution case, the conviction can be made on the testimony of such a single witness..”. Ini bermaksud, mahkamah boleh menerima keterangan kanak-kanak walaupun tanpa keterangan sokongan selagi mana langkah-langkah telah diambil untuk memastikan kanak-kanak tersebut dapat memberi keterangan dengan baik dan konsisten.

 

Kesimpulan

 

Oleh itu, ada kepentingan untuk membezakan antara saksi kanak-kanak yang hanya merupakan pemerhati kejadian dan juga saksi kanak-kanak yang juga adalah mangsa dalam kes gangguan seksual. Pengecualian diberikan kepada mangsa kanak-kanak untuk memberi keterangan tanpa sumpah tanpa keterangan sokongan untuk menyabit tertuduh dengan kesalahan. Hal ini menyebabkan proses membawa pelaku ke muka pengadilan lebih mudah. Ini kerana mangsa mestilah lebih peka dengan apa yang berlaku terhadap dirinya dan untuk kes seksual, dalam kebanyakan situasi pelaku akan lebih berani untuk bertindak sewaktu bersendirian dengan mangsa dan bukan di khalayak ramai. Dengan itu, sukar untuk pihak pendakwaan mendapatkan keterangan sokongan untuk menyokong keterangan mangsa. Kesimpulannya, jelaslah bahawa penggubalan Akta 792 telah memberi kemudahan supaya keterangan kanak-kanak dapat diterima oleh mahkamah tanpa keperluan keterangan sokongan.

Nur Dhia Almas binti Muhamad Aizam Pelajar Praktikal, Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan

RUJUKAN

 

Suria Fadhillah & Shamsinar Rahman, (2021), GANGGUAN SEKSUAL DAN KANAK-KANAK: SATU TINJAUAN UNDANG-UNDANG, GADING (Online) Journal for Social Sciences, Special Issue KONAKA (Bahasa Melayu) – Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Vol 24(03), October 2021 https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/56994/1/56994.pdf

 

Aminuddin Mustaffa &Siti Nurul Aziera, (2012),  ISU DAN PERMASALAHAN KETERANGAN KANAK-KANAK DI BAWAH UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA: SATU PENILAIAN,  24 KANUN (1). https://www.researchgate.net/publication/318528305_Isu_dan_Permasalahan_Keterangan_Kanak-Kanak_di_Bawah_Undang-Undang_di_Malaysia_Satu_Penilaian

 

Jal Zabdi Mohd Yusoff ‘, KETERANGAN KANAK-KANAK – KENAPA? TIDAK PERCAYA KE? https://eprints.um.edu.my/13511/1/keterangan_kanak_kanak.pdf

 

Norazla Abdul Wahab, (2017), MAHKAMAH JENAYAH KHAS: PENDEKATAN INOVATIF DALAM MENANGANI JENAYAH KESALAHAN-KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK, 4th International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017

https://www.academia.edu/35436303/MAHKAMAH_JENAYAH_KHAS_PENDEKATAN_INOVATIF_DALAM_MENANGANI_JENAYAH_KESALAHAN_KESALAHAN_SEKSUAL_TERHADAP_KANAK_KANAK

 

 

 

Share This