Soalan: Assalam, saya adalah cucu kepada arwah datuk saya yang ada meninggalkan harta termasuk sebuah tanah di kampung. Saya dimaklumkan bahawa ayah saya telah diberikan sebidang tanah sebagai hibah, tetapi pemberian ini hanya dibuat secara lisan dan tiada apa-apa dokumen yang dapat membuktikan bahawa wujudnya pemberian hibah tanah itu kepada ayah saya. Ini menjurus kepada masalah di mana pemberian ini telah dipertikaikan oleh ahli waris yang lain. Mereka menuntut bahawa tanah tersebut adalah sebahagian daripada harta pusaka dan bukan diberikan kepada ayah saya. Tambahan lagi datuk saya ini mempunyai tiga orang isteri dan isteri-isterinya masing-masing ada menuntut harta sepencarian terhadap harta pusaka arwah datuk saya ini. Pihak-pihak telah membawa kes ini ke Mahkamah Syariah dan ada juga di Mahkamah Sivil, tetapi sehingga hari ini kes tidak dapat diselesaikan. Akhirnya apa yang terjadi waris-waris telah mula berenggang dan sampai ada yang memutuskan silaturrahim.
Soalan saya adalah untuk pada masa hadapan, apa yang patut kita lakukan, sebagai orang Islam untuk mengelakkan masalah pergaduhan sesama waris ini dapat dielakkan?
Jawapan: Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah menyebut ‘Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah pada manusia kerana ia adalah separuh dari ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku’. Berdasarkan hadith ini, ada kepentingan untuk mempelajari ilmu faraid. Faraid boleh didefinisikan sebagai ilmu pembahagian harta pusaka atau ilmu berkaitan peninggalan harta si mati. Faraid adalah sistem yang mengikut Al-Quran terutamanya disebut dalam surah An Nisa’ ayat 11,12 dan 176. Sistem ini wajib digunapakai untuk pembahagian harta pusaka. Namun, perlulah ditekankan di sini bahawa sebelum pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid dilakukan, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan iaitu hak-hak berkaitan harta pusaka tersebut. Perkara tersebut adalah pengurusan jenazah si mati, hutang si mati, harta sepencarian, pembahagian harta mengikut wasiat, dan hibah. Isu yang sering timbul adalah apabila tiada bukti atau dokumentasi untuk mengesahkan kewujudan tuntutan adanya hibah dan wasiat. Dalam konteks harta sepencarian, tuntutan menjadi sukar kerana terdapat tuntutan daripada ahli waris si mati untuk menggesa pembahagian harta pusaka.
Cadangan Penyelesaian Wasiat : Menyediakan Surat Wasiat
Syarat untuk wasiat adalah jumlah harta yang ditetapkan mestilah tidak melebihi ⅓ (sepertiga) daripada harta keseluruhan si mati, wasiat mestilah sah dan tidak boleh diberikan kepada ahli waris kecuali dengan persetujuan semua ahli waris. Ini telah ditetapkan dalam Hadith Nabi Muhammad S.A.W di mana baginda menyebut “Sesungguhnya Allah S.W.T telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”. Isu yang mungkin timbul adalah di mana wasiat dibuat melalui cara lisan kerana akan timbul persoalan seperti adakah wasiat tersebut sah ataupun tidak lalu mudah dicabar oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Terdapat empat rukun yang mesti dipatuhi dalam menyempurnakan sesuatu wasiyyah iaitu pewasiat, penerima wasiat, perkara yang diwasiatkan dan ucapan atau sighah.
Rukun yang terlibat dalam pelaksanaan wasiat secara lisan adalah sighah di mana pewasiat dan penerima wasiat menyatakan niat untuk memberi harta dan menerima harta. Berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sememangnya sah jika seseorang pewasiat mewasiatkan hartanya dengan cara lisan atau dengan hanya menggunakan lafaz. Walaubagaimanapun, dalam konteks zaman kini, bukti sangatlah penting untuk menunjukkan wujudnya wasiat tersebut. Maka, dokumentasi wasiat dalam bentuk tulisan terutamanya, adalah sangat penting untuk disediakan supaya tuntutan penerima wasiat yang terdapat wasiat yang dibuat oleh pewasiat untuknya tidak dapat dipertikaikan dengan mudah kerana kehadiran bukti yang kukuh seperti dokumen sah wasiat. Namun, sekiranya semua ahli waris bersetuju untuk wasiat tersebut yang dibuat secara lisan dilaksanakan sebelum pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid, maka wasiat dianggap sah dan mesti dituruti.
Cadangan Penyelesaian Hibah: Menyediakan Dokumen Pengisytiharan Hibah
Hibah ialah satu pemberian daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang. Secara prinsipnya, pemilik harta boleh memberikan hartanya sebagai hibah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Berbeza dengan wasiyyah, tiada sebarang sekatan atas jumlah harta yang boleh diberikan serta status penerima sebagai ahli waris atau tidak dalam hibah. Tetapi, harta di bawah hibah mestilah dipindahkan hak miliknya sebelum kematian pemberi. Terdapat empat rukun hibah termasuk pemberi hibah, penerima hibah, harta hibah, dan ijab qabul. Perkara yang perlu ditekankan adalah syarat untuk harta hibah di mana pemilikan harta tersebut oleh penerima hibah. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang syarat ini, namun negara kita mengikut mazhab syafie jadi mengikut pendapat mazhab shafie, qabd atau pemilikan adalah syarat luzum dan syarat sah hibah.
Sama seperti permasalahan dalam wasiat, terdapat juga isu apabila hibah dilakukan cuma secara lisan dan tuntutan penerima hibah bahawa terdapat hibah yang disediakan untuknya dicabar oleh ahli waris. Oleh itu, isu ini dapat diatasi dengan penyediaan dokumen pengisytiharan hibah dan surat akuan sumpah. Dokumen pengisytiharan hibah adalah dokumen hibah mutlak mengandungi ijab dan qabul tetapi tidak mempunyai dokumentasi pindah milik. Kemudian, penerima hibah perlu menyediakan surat akuan yang menyatakan hibah yang diterima adalah hibah ruqba. Sekiranya pemberi hibah meninggal, dan ada waris kepada pemberi hibah yang mempertikaikan hibah tersebut, dokumen yang akan dibawa ke mahkamah sebagai bukti adalah Dokumen Pengisytiharan Hibah sahaja. Jika penerima hibah yang meninggal dahulu dan ada ahli waris kepada penerima hibah yang menuntut bahawa harta hibah adalah sebahagian daripada harta pusaka penerima hibah, makan pemberi hibah akan membuktikannya dengan Surat Akuan sumpah. Walaupun penyediaan dokumen ini tidak melibatkan borang 14A dan sebagainya bagi tujuan memindahkan harta tersebut kepada penerima, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengikat waris-waris bahawa wujudnya dokumentasi hibah buat penerima.
Cadangan Penyelesaian Harta Sepencarian: Menyediakan Deklarasi Harta Sepencarian
Seterusnya adalah harta sepencarian. Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 mendefinisikan harta sepencarian sebagai “Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”. Situasi apabila harta sepencarian dituntut adalah antaranya apabila suami berpoligami, semasa penceraian dan selepas kematian suami atau isteri oleh ahli waris. Berbalik kepada topik utama artikel ini iaitu isu hak sebelum pembahagian harta si mati mengikut faraid, harta sepencarian seperti yang dimaklumkan adalah salah satu daripadanya. Namun, terdapat situasi di mana isu timbul tentang kelayakan pasangan yang masih hidup untuk mendapat harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian akan menjadi rumit dan menjurus kepada pergaduhan sesama pasangan masih hidup dan keluarga si mati. Oleh itu penting untuk pasangan berkahwin untuk menyediakan dokumen deklarasi harta sepencarian semasa hidup supaya tiada isu yang akan timbul untuk mencabar keupayaan pasangan masih hidup untuk menerima harta sepencarian. Deklarasi harta sepencarian ini tidak boleh dibuat lebih 50%(lima puluh peratus) daripada jumlah keseluruhan harta. Pendokumentasian ini boleh disediakan supaya hak pasangan yang masih hidup terbela sekiranya apa-apa berlaku, dokumen ini boleh dibawah ke mahkamah sekiranya dipertikai oleh mana-mana pihak.
Kesimpulannya, apabila ahli keluarga memutuskan untuk membuat wasiat, hibah dan menuntut harta sepencarian, penting untuk instrumen-instrumen ini didokumentasikan untuk tujuan masa hadapan. Apabila instrumen telah didokumentasikan, ia dapat menjadi bukti kukuh untuk melanjutkan urusan instrumen tersebut. Dengan itu, hak-hak yang dituntut dapat diselesaikan dengan segera dan dapat memberi ruang untuk pembahagian harta mengikut sistem Faraid. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang perbalahan antara ahli keluarga kerana semua telah ditetapkan dalam satu dokumen yang sah. Selain itu mempercepatkan proses pembahagian harta kepada ahli waris.
Sekian.
Recent Comments