Masalah Hak Pewarisan Peneroka FELDA, Bertentangan dengan Hukum Islam?
Oleh: Nur Dhia Almas binti Muhamad Aizam, Pelajar Praktikal
Untuk Tetuan Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan.
Seksyen 3(1) Akta Penempatan Berkelompok 1960 menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengisytiharkan mana-mana kawasan tanah sebagai kawasan berkelompok. Salah satu kawasan berkelompok adalah kawasan FELDA di mana peneroka-peneroka akan diberikan tanah untuk dimajukan. Peneroka boleh mendapatkan dua jenis tanah, iaitu tanah sebagai kegunaan pertanian dan satu lagi untuk kegunaan kediaman. Kedua-dua tanah ini adalah berstatus tanah berangkai maka tidak boleh dipisahkan dan dibahagikan selama-lamanya. Tanah ini juga tidak boleh dipecah bahagi kepada tanah lot-lot kedai. Isu yang timbul adalah para peneroka telah ramai meninggal dunia dan terdapat permasalahan tentang pewarisan kepada generasi kedua peneroka dan seterusnya. Hal ini kerana terdapat beberapa sekatan yang menghalang pewarisan kepada anak-anak peneroka.
- Hak pewarisan peneroka
1.1 Apabila peneroka generasi pertama meninggal, pentadbir akan dilantik bagi menguruskan hasil daripada tanah pertanian tersebut dan mengagihkan hasil tersebut kepada waris-waris yang lain samaada mengikut hukum faraid atau muafakat.
1.2 Isteri yang masih hidup juga boleh memohon hak harta sepencarian. Permohonan boleh di buat di mahkamah menuntut bahagian isteri sebanyak 50% daripada hasil bulanan sawit setiap bulan. Sekiranya Mahkamah Syariah benarkan, maka hasil sawit setiap bulan perlu dibahagi dua, satu untuk waris si mati termasuk isteri dan satu lagi khas untuk isteri.
1.3 Proses pewarisan apabila ada waris yang berminat untuk meneruskan usaha memajukan tanah tersebut. Proses ini boleh dikatakan sama seperti hibah.
- Waris melakukan permohonan pewarisan melalui sistem aplikasi MyeTapp
- Proses bicara kuasa akan dilaksanakan di peringkat Unit Pusaka Kecil Daerah
- Apabila selesai bicara, peringkat seterusnya adalah FELDA di mana waris menghantar permohonan pertukaran nama ke pejabat rancangan FELDA
- Pertukaran nama selesai
1.4 Para waris boleh menuntut bahagian masing-masing mengikut hukum faraid di mana pegawai Unit Pembahagian Pusaka selaku pentadbir tanah akan melantik sekurang-kurangnya seorang pentadbir untuk didaftarkan di dalam geran tanah. Pentadbir perlu menguruskan ladang dan membahagikan hasilnya kepada waris-waris mengikut faraid atau sebagaimana dipersetujui oleh waris waris. Isu timbul apabila peneroka mempunyai lebih daripada dua waris.
1.5 Proses yang perlu dilalui setelah kematian peneroka?
- Waris si mati melaporkan kematian peneroka kepada Pejabat Rancangan FELDA.
- Menyerahkan dokumen-dokumen berikut kepada pihak pengurusan rancangan :- -Salinan Sijil Kematian;
-Salinan Kad Pengenalan; dan
-Salinan Geran Hak Milik Tanah (sekiranya telah ada hak milik); dan
-Lain-lain dokumen harta alih seperti Geran hakmilik kenderaan dll.
-Pihak pengurusan rancangan hendaklah merekodkan kematian tersebut dalam Sistem Komputer Berintegrasi (SKB).
-Tuntutan harta sepencarian (jika peneroka meninggalkan balu) oleh isteri
-Pengisian Borang Permohonan Pusaka Kecil (Borang A [Peraturan 3(1)]) oleh waris si mati dan lampiran dokumen-dokumen yang berkaitan.
-Permohonan dimajukan ke Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah
-Daerah atau membuat permohonan melalui online ke web.
1.6 Apa yang perlu dilakukan setelah permohonan pusaka kecil dimajukan ke unit pembahagian harta pusaka kecil, pejabat tanah daerah
-Permohonan akan diproses oleh unit pembahagian harta pusaka kecil. Jika dokumen lengkap, semua waris peneroka akan dipanggil untuk hadir ke Pejabat Tanah Daerah(PTD) bagi perbicaraan pembahagian harta pusaka Kecil serta turun milik sebagai pemilik (Borang E) atau perlantikan pentadbir (Borang F)
1.7 Perintah pusaka adalah dokumen yang dikeluarkan setelah perbicaraan harta pusaka selesai. Borang-borang yang akan dikeluarkan oleh unit pembahagian harta pusaka kecil, pejabat tanah daerah setelah pembicaraan selesai adalah Borang E untuk perlantikan pemilik atau Borang F bagi pelantikan pentadbir. Perbezaan pemilik dan pentadbir adalah pemilik berkuasa sepenuhnya ke atas harta yang dimilikinya dan hasil ladang adalah miliknya sepenuhnya. Pentadbir pula tidak berkuasa sepenuhnya ke atas harta yang ditadbir. Hasil ladang mestilah dibahagikan semasa waris-warisnya mengikut perintah pusaka.
1.8 Pindahmilik boleh dibuat melalui Borang 14A tetapi terhad kepada kategori ynag ditetapkan iaitu kepada isteri, bekas isteri atau waris kadim. Namun, sekatan di bawah Akta GSA 1960 masih terpakai di mana pemilikan tanah ini hanya terhad kepada dua penama sahaja. Walaubagaimanapun, ini juga tertakluk kepada persetujuan semua waris dan FELDA kerana pemilikan tanah tersebut adalah tidak mutlak. Persetujuan ini boleh dibuat melalui surat akan persetujuan yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah.
1.9 Seorang pentadbir yang dilantik tertakluk pada Seksyen 13 AKTA Harta Pusaka Kecil (pembahagian) (Pindaan) 2008 yang menyebut kuasa pentadbir hanya terhad kepada penjagaan dan pengurusan harta si mati sahaja. Harta masih dimiliki oleh si mati.
- Akta yang mengikat peneroka berkaitan isu pewarisan
2.1 Masih tertakluk kepada Akta Harta Pusaka Kecil (pembahagian) (pindaan) 2008.
- Punca masalah
3.1 Tanah yang diberikan kepada peneroka adalah bukan hak mutlak atau absolute. Pemilikan adalah milikan secara manfaat terhadap tanah tersebut. Walaupun peneroka telah mempunyai hak milik, peneroka tidak bebas untuk melakukan sebarang urus niaga ke atas tanah tersebut melainkan mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.
3.2 Terdapat sekatan yang menghalang peneroka untuk memindah milik tanah kepada waris-waris. Seksyen 14 Akta Penempatan Berkelompok 1960 tidak membenarkan pegangan desa dikeluarkan kepada lebih dari dua orang pemegang yang dikira sebagai pegangan bersama atau pemilik bersama.
3.3 Seksyen 15 memperuntukkan bahawa kawasan pegangan desa tidak boleh pada bila-bila masa dipecah bahagian(subdivided or partitioned). Seksyen ini juga tidak membenarkan pegangan desa dipajak sebahagian atau semuanya.
3.4 Kedudukan generasi baharu FELDA tentang pewarisan tidak dinyatakan dalam Akta GSA tersebut.
3.5 Peneroka tidak boleh memisahkan tapak rumah sebagai satu bahagian dan tapak ladang sebagai satu bahagian yang lain. Kedua-duanya mestilah dimiliki bersekali selama-lamanya. Pada masa sama, ia juga tidak boleh dipecah bahagi kepada tanah lot-lot kecil.
3.6 Terdapat kebarangkalian yang pentadbir mungkin tidak memegang amanah yang diberikan dengan baik. Seperti contoh, pentadbir gagal untuk mengagihkan hasil tanah kepada waris-waris yang lain.
- Kesan kepada institusi keluarga
- Berlakunya salah faham antara waris
- Menyebabkan keluarga berpecah belah apabila pentadbir tidak menguruskan hasil pertanian dengan baik serta gagal untuk mengagihkan harta tersebut kepada waris-waris lain.
- Adakah pewarisan tanah FELDA bertentangan dengan hukum faraid?
5.1 Tidak. Hal ini kerana pembahagian harta pusaka peneroka yang meninggal dunia masih mengikut hukum faraid. Berdasarkan AKTA GSA, pejabat pusaka akan melantik tidak lebih daripada dua orang pentadbir harta di kalangan waris yang akan bertanggungjawab untuk membahagikan hasil daripada tanah tersebut kepada waris-waris. Hasil dan manfaat daripada tanah FELDA hendaklah dibahagikan mengikut hukum faraid sebagaimana yang diputuskan oleh pejabat pusaka.
5.2 Islam telah menentukan hak waris dalam harta pusaka si mati dan kemudian terpulang kepada waris tersebut untuk menentukan bagaimana pemilikan harta berdasarkan hak yang telah ditentukan itu sama ada untuk memecahkan, mengekalkan atau menambahkannya dengan harta milik mereka yang sedia ada.
5.3 Hibah boleh dibuat oleh peneroka FELDA namun persetujuan FELDA perlu didapatkan. Selain itu, waris-waris perlu bersetuju melalui surat akuan persetujuan.
5.4 Wasiat juga boleh dibuat tetapi sekiranya didapati bertentangan dengan sekatan yang dinyatakan dalam Akta GSA, wasiat tersebut tidak dapat dilaksanakan.
- Cadangan penyelesaian
6.1 Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 perlu dipinda dengan memasukkan klausa yang menjelaskan tanah peneroka FELDA boleh diwarisi oleh generasi kedua dan seterusnya.
6.2 FELDA perlu menghapuskan sekatan di bawah Seksyen 14 Akta GSA. Apabila peneroka meninggal dunia, kontrak yang personal antara peneroka dan FELDA akan terbatal dan secara automatik hak perusahaan tanah akan menjadi milik FELDA. Namun, pihak FELDA akan bertanya kepada waris sekiranya ada antara waris yang berminat untuk mentadbir tanah tersebut lalu dilantik sebagai pentadbir. Kontrak baru akan dibuat antara FELDA dan pentadbir.
Namun, berkenaan dengan cadangan untuk memindah Akta GSA, perkara ini sudah pun dibincangkan di Dewan Rakyat di mana Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang meminta penerangan tentang sekiranya kerajaan mempunyai rancangan untuk memindah Akta GSA 1960 supaya hak milik dapat diturunkan mengikut hukum faraid. Timbalan Perdana Menteri pada Ketika di jabatan Perdana menteri, YB Dato’ Razali bin Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk memindah Akta GSA 1960 kerana tanah yang tertakluk di bawah Akta ini adalah berkonsepkan pemilikan secara kontraktual antara kerajaan negeri, FELDA dan peneroka.
6.3 Selain daripada itu, FELDA perlu memberikan penjelasan kepada peneroka dan generasi baharu tentang pewarisan tanah FELDA dari segi kepemilikannya
6.4 FELDA juga perlu memastikan Pentadbir faham bidang kuasa yang dimilikinya supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya pentadbir menganggap bahawa hanya dia yang mempunyai hak ke atas tanah tersebut.
6.5 Sekatan baru perlu diwujudkan untuk menggalakkan peneroka FELDA untuk membuat penurunan milik terus kepada waris-waris yang menduduki rancangan atau membuat wasiat atau melantik salah seorang waris untuk menjadi pentadbir atau pemegang amanah supaya apabila peneroka tersebut meninggal dunia, harta tersebut dapat diuruskan dengan sempurna
6.6 FELDA boleh menubuhkan satu badan khas untuk menyelesaikan masalah tanah pusaka FELDA. Badan ini akan menawarkan penyelesaian untuk memajukan tanah tersebut dan perjanjian akan dibuat oleh FELDA dan waris-waris untuk pembahagian hasil tanaman.
6.7 Mewujudkan satu Surat Ikatan Amanah untuk mengikat wakil waris, iaitu pentadbir,untuk menyerahkan hasil ladang kepada waris-waris yang lain. Pentadbir boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap pecah amanah. Selain itu, surat ini membolehkan pentadbir untuk duduk di rumah FELDA tersebut. Pentadbir juga boleh menerima upah (ujrah).
- Kesimpulan
Sekatan-sekatan di bawah Akta GSA 1960 mempunyai rasional iaitu untuk memaksimakan hasil daripada kegiatan pertanian yang mana hak milik tidak boleh dimiliki oleh pemilik yang begitu ramai. Selain daripada itu, kerajaan juga telah menyatakan bahawa tiada cadangan untuk memindah Akta GSA 1960 untuk menghapuskan sekatan-sekatan yang menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara ahli waris. Oleh itu, pemahaman yang lebih dalam tentang ilmu faraid dapat membantu waris-waris untuk berbincang tentang cara terbaik untuk membahagikan hasil daripada tanah tersebut.
Recent Comments