fbpx

Peningkatan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Semasa Pandemik COVID-19

by | Aug 24, 2021 | Featured, Law

Negara-negara di dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 pada akhir tahun 2019 yang mengakibatkan semua aktiviti yang biasanya dilakukan sehari-harian dihentikan serta-merta. Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya semua rakyat kekal berada di dalam kediaman masing-masing bagi mengawal penularan wabak ini daripada tersebar. Sehingga ke hari ini, Malaysia dianggarkan telah berada dalam tempoh perintah kawalan (jika tidak diambilkira jenis perintah yang dikeluarkan; PKP, PKPP, PKPD) selama hampir 500 hari iaitu lebih dari satu tahun. Sepanjang tempoh ini berkuatkuasa, hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial ditutup termasuklah sektor pendidikan. Hanya sektor yang tergolong dalam perkhidmatan penting sahaja yang dibenarkan beroperasi. Oleh itu, ia boleh dikatakan lebih separuh daripada rakyat Malaysia perlu kekal berada di kediaman masing-masing sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini berjalan.

Masalah yang timbul disebabkan keadaan ini dapat dilihat menerusi siaran akhbar mengenai peningkatan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Apakah perbuatan yang boleh tergolong dalam maksud “kesalahan seksual terhadap kanak-kanak” ini? Di sisi undang-undang, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) membahagikan senarai kesalahan yang berkaitan kepada tiga bahagian utama iaitu kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak (seksyen 4 hingga seksyen 10 Akta), pengantunan kanak-kanak (seksyen 11 hingga 13 Akta) dan amang seksual terhadap kanak-kanak (seksyen 14 dan 15 Akta). Bagi bahagian kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak, contoh perbuatannya adalah seperti membuat atau menghasilkan pornografi kanak-kanak, menggunakan kanak-kanak dalam penghasilan pornografi kanak-kanak, bertukar-tukar atau menerbitkan pornografi kanak-kanak, mengakses pornografi kanak-kanak dan sebagainya. Selain itu, bagi kesalahan yang berhubungan dengan pengantunan kanak-kanak (child grooming) contoh perbuatannya adalah berkomunikasi atau menggalakkan kanak-kanak untuk berkomunikasi secara seksual. Pengantunan kanak-kanak juga boleh berlaku melalui komunikasi seseorang individu bersama kanak-kanak dengan niat untuk melakukan atau memudahkan perlakuan seksual. Seterusnya, kesalahan yang berkaitan dengan amang seksual. Kesalahan ini boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu secara fizikal dan bukan fizikal. Contoh amang seksual fizikal adalah apabila seseorang menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak bagi maksud seksual, manakala contoh yang bukan fizikal seperti seseorang yang mengatakan apa-apa perkataan atau membuat apa-apa bunyi bagi maksud seksual supaya dilihat atau didengari oleh seseorang kanak-kanak.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, terdapat peningkatan yang signifikan bagi kesalahan-kesalahan ini semasa PKP dan ia berpunca daripada faktor penggunaan media sosial yang luas. Sejumlah 45 kes dilaporkan semasa PKP (18 Mac 2020 hingga 29 April 2021) menyaksikan peningkatan sebanyak 27 kes berbanding 18 sebelum pelaksanaan PKP (18 Februari 2019 hingga 17 Mac 2020). Bagi kesalahan amang seksual bukan fizikal iaitu menggunakan perkataan atau menunjukkan perlakuan seksual lucah sama ada dalam bentuk audio dan visual kepada kanak-kanak juga menyaksikan peningkatan sebanyak 24 kes berbanding 53 sebelum PKP. Persoalan yang penting di sini, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menyekat penularan kes sebegini rupa? Langkah pencegahan yang berkesan perlu dilakukan secepat mungkin, mengambil kira kesan jangka panjang yang mungkin dialami oleh mangsa iaitu kanak-kanak yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Langkah-langkah yang akan diutarakan ini merangkumi aspek individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dari segi individu, pencegahan yang paling berkesan secara asasnya bermula daripada diri mereka sendiri. Ini kerana, dalam kebanyakan situasi yang membawa kepada ketagihan untuk melakukan kesalahan ini, ia bermula dengan situasi “hanya ingin mencuba”. Oleh itu, pencegahan dan kawalan awal bermula daripada individu itu sendiri. Dalam keadaan jika kesalahan tersebut telah terlanjur dilakukan, maka muhasabah diri adalah salah satu usaha yang boleh dilakukan dengan cara mendekatkan diri dengan agama. Bagi pelaku yang beragama Islam khususnya, berpuasa adalah salah satu cara yang berkesan untuk mereka mengawal hawa nafsu daripada melakukan perkara yang tidak elok. Selain itu, langkah yang boleh dilakukan seseorang yang menyedari dirinya ketagih atau berpotensi untuk ketagih melakukan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini adalah memikirkan aktiviti lain yang mampu mengalihkan perhatian mereka daripada melakukannya. Salah satu contoh adalah membuat aktiviti fizikal. Mengambilkira tempoh kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa, maka aktiviti fizikal diluar rumah dilihat kurang sesuai dilakukan. Namun begitu, aktiviti seperti bersenam, berkebun, memasak atau mencuba untuk berdiet adalah antara aktiviti yang menarik untuk dilakukan. Malah, mungkin bagi sesetengah individu dengan bermain permainan video seperti Mobile Legends, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) atau lain-lain permainan video adalah aktiviti yang sesuai untuk mereka lakukan sama ada bagi mengisi masa lapang atau secara tidak langsung mengelakkan daripada wujudnya keinginan seperti membuat capaian pornografi kanak-kanak. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, dengan hanya membuat capaian kepada pornografi kanak-kanak ia boleh menjadikan seseorang bertanggungan untuk dituduh melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Oleh itu, sekecil-kecil cara yang berkemungkinan dapat membantu seseorang daripada menjauhkan diri daripada melakukan kesalahan ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Langkah seterusnya adalah usaha daripada keluarga dan masyarakat. Penglibatan kanak-kanak secara sukarela dalam kesalahan seksual juga merupakan suatu realiti yang pahit untuk ditelan. Namun begitu, mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Ini kerana, mereka masih belum lagi mencapai tahap kematangan dan kemahiran untuk berfikir secara rasional. Golongan dewasalah yang seharusnya membantu dan membimbing kanak-kanak ini dalam membuat satu-satu keputusan. Ibu bapa terutamanya, haruslah memantau aktiviti anak-anak mereka terutama sekali dalam penggunaan gajet. Hal ini demikian kerana, internet dan sosial media menjadi pelantar dan medium utama kepada permulaan dan penularan kes berkaitan kesalahan jenayah seksual ini. Data polis mendapati pelbagai aplikasi media sosial digunakan remaja serta kanak-kanak  yang menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual ini antaranya WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, Telegram, Bigo, Messenger, BeeTalk, TikTok dan Twitter. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu membimbing anak-anak ini supaya tahu tentang etika berinteraksi di alam maya selain mengenal pasti kecenderungan semasa mereka di internet. Pada masa yang sama, golongan kanak-kanak serta remaja perlu diterapkan dengan rasa tanggungjawab supaya mereka memiliki kepatuhan tinggi daripada melakukan aktiviti tidak bermoral sedari kecil lagi.

Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat. Antara cara untuk mencapai tujuan ini adalah, membentuk masyarakat yang cakna dengan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini. Bukan sahaja cakna, malah penerimaan dan keterbukaan untuk membantu dan membimbing kanak-kanak yang berpotensi atau telah menjadi mangsa jenayah seksual juga adalah amat penting. Ini kerana, terdapat juga keadaan di mana kanak-kanak yang menjadi mangsa ini takut untuk berkongsi masalah yang dihadapi mereka kerana takut akan kesan dan penerimaan yang bukan sahaja datang daripada ahli keluarga malah daripada masyarakat sekeliling. Dalam kebanyakan keadaan, seringkali mangsa yang perlu menghadapi kritikan dan kecaman walhal perkara yang lebih penting adalah untuk menghalang pemangsanya daripada bebas mencari mangsa seterusnya. Kesimpulannya, peranan ahli masyarakat dalam mewujudkan suasana yang selamat adalah penting untuk meyakinkan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual bahawa nasib mereka terbela dan dilindungi.

Seterusnya, dari segi langkah yang boleh dilaksanakan oleh negara adalah dengan menggerakkan agensi di bawah mereka untuk meningkatkan aktiviti kerohanian. Agensi kerajaan mahupun yang bukan kerajaan perlu bekerjasama untuk menjayakan usaha ini sama ada secara formal atau tidak formal. Contoh kaedah formal adalah melalui pendidikan mengenai pendedahan mengenai Islam dengan sejelas-jelasnya dan disepadukan dengan penghayatan yang dituntut oleh Islam. Program tambahan dan kegiatan Islam perlu disusun dan dilaksanakan segera terutamanya di sekolah-sekolah memandangkan institusi ini agak sesuai dan mudah untuk menggerakkan dan mengumpulkan pelajar-pelajar. Aktiviti seperti Kempen Sentuhan Selamat menunjukkan impak positif dalam memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang sentuhan yang selamat dan tidak selamat. Dalam masa yang sama, penyampaian secara tidak formal pula boleh dilakukan melalui perkongsian melalui radio, televisyen atau melalui khutbah solat Jumaat. Usaha ini mungkin tidak mampu memberi kesan secara drastik namun, tidak mustahil bahawa ia mampu memberi sokongan dan dorongan kepada mereka yang berkenaan untuk bermuhasabah. Selain itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam memperketatkan penguatkuasaan undang-undang sekurang-kurangnya untuk membangkitkan rasa takut dan memberi kesedaran kepada pelaku-pelaku jenayah ini akan kesan perbuatan mereka. Apa yang penting, ancaman melalui penguatkuasaan undang-undang ini bukanlah semata-mata untuk menghukum, tetapi lebih kepada usaha untuk mencegah dan merawat. Usul seperti Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual juga membuktikan bahawa kerajaan memandang serius isu berkaitan gangguan dan kesalahan seksual.

Kesimpulannya, inisiatif dan langkah yang berkesan bagi mengekang penularan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini tidak boleh dipandang enteng kerana kesan yang mungkin dialami mangsa-mangsa ini bersifat jangka panjang. Usaha yang dilakukan pada masa kini akan menentukan nasib negara pada masa akan datang. Kesedaran tentang pentingnya untuk mencegah situasi sebegini daripada melarat adalah sangat mustahak kerana kesan tersebut bukan hanya mempengaruhi mangsa, malah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Bak kata pepatah, jangan “sudah terhantuk, baru tengadah”.

Nabila Waheeda binti Ahmad Badrul Hisham Pelajar Praktikal, Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan.

Share This
Open chat