Putus Persaudaraan Angkara Tanah Felda: Langkah-langkah yang Boleh diambil Dalam Mengurus Tanah Felda
Disediakan oleh:
Muna Khadijah binti Ismail, Pelajar praktikal (Universiti Utara Malaysia)
Muhammad Ikmal bin Saidal khadri, Pelajar praktikal (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)
Untuk Tetuan Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan.
Adakah anda seorang peneroka Felda? Jika ya, tahukah anda tanah Felda mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu selepas berlaku kematian seorang peneroka, tanah tersebut tidak boleh dimiliki melebihi dari dua orang dan tidak boleh dipecah bahagi selama-lamanya. Jadi, konflik dalam proses pembahagian harta pusaka peneroka akan timbul antara lainnya, tiadanya kesepakatan antara waris dalam menentukan waris yang berhak untuk menerima bahagian dalam harta tersebut. Kedua, pentadbir tidak faham tanggungjawab sebagai seorang pentadbir dan dia juga tidak faham bahawa dia bukannya pemilik sepenuhnya tanah tersebut. Akhir sekali, pentadbir juga gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membahagikan hasil ladang kepada waris-waris yang lain. Hal ini akan memberi impak yang negatif kepada ekonomi dan hubungan silaturrahim antara waris-waris peneroka yang masih hidup. Walaubagaimanapun, perkara ini dapat dielakkan jika peneroka telah membuat perancangan awal berhubung dengan tanah Felda mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara, Akta Tanah Berkelompok dan akta-akta lain.
Isu sekatan tanah Felda di bawah Akta Tanah Berkelompok
Isu pembahagian harta pusaka peneroka ini wujud kerana terdapat pelbagai sekatan yang perlu dipatuhi di bawah Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1960. Antara sekatan tersebut adalah, tanah peneroka Felda tidak boleh didaftarkan lebih dari dua orang pemilik yang dikira sebagai pemilik bersama. Maksudnya, hanya dua orang waris sahaja yang boleh didaftarkan dalam hakmilik tanah berkenaan. Selain itu, tanah ini juga tidak boleh dipecah bahagi atau dipajak sebahagian atau keseluruhan. Ini bermaksud, peneroka tidak boleh memisahkan tanah kediaman sebagai satu bahagian dan tanah ladang sebagai satu bahagian yang lain. Tanah-tanah tersebut hendaklah dimiliki bersekali selama-lamanya. Tambahan pula, urusan jual beli, pindah milik, gadaian dan sewaan juga tidak dibenarkan melainkan dengan persetujuan daripada pihak Felda, Pihak Berkuasa Negeri dan waris yang lain terlebih dahulu. Bagi mengatasi isu dalam pembahagian harta Felda, beberapa langkah boleh dilakukan agar pengagihan harta dapat dijalankan dengan sempurna.
Solusi terhadap isu sekatan-sekatan dari segi perundangan yang terpakai kepada tanah Felda
- Hibah/pemberian kasih sayang
Proses pengurusan harta pusaka akan menjadi lebih lancar jika si peneroka ada membuat perancangan awal yang jelas ke atas hartanya sebelum mereka meninggal dunia. Antara perancangan harta semasa hidup yang boleh dilaksanakan oleh peneroka adalah hibah/pemberian kasih sayang. Apa itu hibah? Hibah bermaksud “hadiah” atau “sedekah”. Dalam erti kata lain, hibah adalah pemberian daripada seseorang yang diberikan kepada penerima secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada penerima hibah. Di samping itu, harta yang telah dihibahkan tidak lagi dimiliki oleh simati dan ianya terkecuali dari senarai harta yang boleh difaraidhkan atau yang boleh dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300). Jadi, peneroka boleh menghibahkan atau memberikan tanah-tanah Felda atas dasar kasih sayang kepada warisnya seperti isteri dan anaknya.
Penghibahan tanah Felda hendaklah dibuat mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam Akta Tanah Berkelompok. Antaranya, hak milik tidak boleh melebihi dua nama. Ia juga mestilah mendapat kebenaran daripada Felda dan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu. Hal ini disebabkan oleh, status pemilikan tanah Felda adalah status pemilikan tidak sempurna. Oleh sebab itu, segala transaksi melibatkan tanah Felda mestilah mendapat kebenaran pihak-pihak berkenaan. Seterusnya, semua waris yang lain juga mestilah bersetuju dengan pelaksanaan hibah tersebut melalui surat akuan sumpah yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Peneroka dan waris yang lain perlu faham bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik penerima hibah sepenuhnya.
- Pelantikan pemegang amanah
Peneroka boleh melantik pemegang amanah semasa si peneroka masih hidup supaya apabila peneroka tersebut meninggal dunia, harta tersebut dapat diuruskan dengan sempurna. Surat Ikatan Amanah merupakan antara instrumen yang diperlukan untuk melantik pemegang amanah. Surat tersebut perlu ditandatangani oleh pemberi amanah dan pemegang amanah. Surat tersebut juga akan didaftarkan di pejabat tanah untuk memastikan ikatan pemegang amanah itu sah menurut undang-undang. Hak dan tanggungjawab pemegang amanah dan waris-waris yang lain akan dinyatakan di dalam surat tersebut. Selain itu, Memorandum Pemindahan (Memorandum of Transfer) juga penting untuk pindahmilik tanah kepada pemegang amanah dan mendaftarkan namanya di atas geran sebagai pemegang amanah selepas kematian peneroka.
Selanjutnya, semua waris peneroka yang lain mestilah bersetuju dengan pelantikan tersebut. Waris-waris boleh dilantik sebagai pemegang amanah dan dia mestilah faham peranannya sebagai pemegang amanah dan perlulah menjalankan tugasnya dengan bertanggungjawab. Pada waktu yang sama, pemegang amanah yang dilantik mestilah seorang yang arif tentang undang-undang dalam pengurusan harta tersebut dan mempunyai pengetahuan tentang pembahagian harta tersebut. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan dan seterusnya mencetuskan perselisihan faham antara waris-waris yang lain.
- Mengadakan kursus/seminar untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengurus, peneroka dan waris
Pihak pengurusan Felda boleh bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pengamal undang-undang bagi mengadakan seminar kepada pihak peneroka dalam menerangkan isu sekatan-sekatan Akta Tanah Berkelompok dalam proses pindah milik tanah. Hal ini dapat membantu meningkatkan kesedaran awal dalam kalangan pengurus, peneroka dan waris dalam menguruskan pindah milik tanah Felda.
Mereka yang terlibat dalam menganjurkan seminar ini bertanggungjawab dalam menerangkan isu sekatan dalam Akta Tanah Berkelompok kepada pihak peneroka kerana dikhawatirkan sekiranya peneroka gagal untuk memahami isu sekatan ini, hal ini akan menyukarkan waris dalam proses pindah milik tanah tersebut. Kegagalan dalam memahami sekatan-sekatan ini berkemungkinan akan menimbulkan perbalahan antara waris peneroka yang akhirnya akan memutuskan tali persaudaraan.
Di antara isu sekatan dalam Akta Tanah Berkelompok yang mengakibatkan kesukaran untuk proses pindah milik ialah:
- Seksyen 7 Akta Tanah Berkelompok 1960: Menghalang tanah Felda untuk dimiliki lebih dari dua orang.
- Seksyen 14 Akta Tanah Berkelompok 1960: Menghalang Pegangan Luar Bandar diberikan kepada lebih daripada dua penama yang dianggap sebagai pegangan bersama atau pemilik bersama.
- Seksyen 15 Akta Tanah Berkelompok 1960: Menghalang peneroka untuk melakukan pecah bahagi tanah atau melakukan pajakan sebahagian atau keseluruhan tanah tersebut.
Seterusnya menjadi tanggungjawab penganjur seminar ini untuk menerangkan kepada peneroka tentang bidang kuasa dan hak pentadbir yang dilantik. Seorang pentadbir hanya ditugaskan untuk mengurus hal ehwal tanah dan pentadbir adalah wakil kepada semua ahli waris dan bukannya memiliki kuasa mutlak ke atas tanah tersebut.
Penganjur seminar ini akan membantu peneroka dalam memahami konsep hibah (muslim) atau pemberian kasih sayang (bukan muslim) yang mana ramai peneroka keliru dan sering sama ertikan status penerima hibah/pemberian kasih sayang dengan pentadbir. Penerima hibah atau pemberian kasih sayang memiliki kuasa mutlak ke atas tanah tersebut.
Kesimpulan
Peneroka haruslah didedahkan mengenai sekatan dalam Akta Tanah Berkelompok 1960 lebih awal agar dapat membantu peneroka dalam urusan pindah milik tanah Felda. Pendedahan awal ini dapat mengelakkan berlakunya konflik di antara ahli keluarga dan pihak pengurusan tanah Felda. Maka, proses pindah milik tanah Felda dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang konflik di antara ahli keluarga dan dapat menjaga keharmonian keluarga berkenaan.
Recent Comments