Sedang kita berada pada zaman “fast paced information technology”, apa-apa yang disiarkan atau dikongsikan melalui “posting” di Internet mudah viral dan tersebar bukan sahaja dalam negara bahkan juga satu dunia.
Isu penyalahgunaan gambar oleh individu yang tidak bertanggungjawab semakin meningkat dan golongan kanak-kanak dan juga wanita merupakan target utama di platform media sosial masa kini seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram, Tik Tok dan sebagainya.
Gambar yang pada asalnya hanyalah boleh dikatakan gambar yang kita rasakan “biasa-biasa sahaja” seperti gambar kita berswafoto (selfie) dengan berpakaian dan gaya yang sopan, namun masih ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil gambar tersebut dan disalahgunakan dengan niat atau tujuan yang tidak baik.
Di sini kami kongsikan antara contoh-contoh situasi bagaimana penyalahgunaan gambar seseorang boleh berlaku:-
1. Gambar yang anda siarkan (post) di Facebook telah diambil tanpa izin dan dihantar atau disiarkan ke dalam ruangan/group yang ada kandungan lucah di Telegram atau Tumblr;
2. Gambar yang anda siarkan di Instagram telah diambil tanpa izin dan dihantar atau disiarkan ke laman/akaun lain dengan caption yang lucah;
3. Gambar yang anda siarkan di Instagram telah diambil tanpa izin dan digunakan untuk akaun yang lain dengan nama orang lain sebagai identiti palsu (catfishing);
4. Seseorang telah membuka akaun palsu di media sosial dan menyamar sebagai diri saya. (impersonation).
Oleh itu, untuk membendung isu-isu penyalahgunaan gambar sepertimana situasi yang di atas, terdapat dua peruntukan di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengenai kandungan jelik.di Internet.
1. Seksyen 211– Larangan terhadap pemberian kandungan jelik. Orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau menggangu mana-mana orang.
Hukuman : Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
2. Seksyen 233– Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.
(1) Seseorang yang –
(a) Dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar –
(i) Membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii)Memulakan penghantaran,apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain; atau
(b) Memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, adalah melakukan suatu kesalahan.
Hukuman: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Langkah-langkah yang dinasihatkan untuk anda ambil jika mengalami isu-isu seperti di atas:-
1. Cuba untuk berkomunikasi dengan pemilik akaun tersebut. Simpan (Cth: Screen shot) segala perbualan komunikasi dengan pemilik akaun tersebut sebagai bukti.
2. Membuat aduan penyalahgunaan (report abuse) yang disediakan oleh pentadbiran laman untuk memadam akaun atau post tersebut. Simpan bukti bahawa kita telah membuat aduan tersebut.
3. Anda boleh membuat aduan di laman web skmm dan sertakan segala dokumen sokongan yang ada supaya pihak skmm dapat mengkaji kes ini dengan terperinci. Aduan anda biasanya akan diproses dalam masa 15 hari selepas tarikh aduan diterima.
4. Anda juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis supaya kes dapat disiasat dan diambil tindakan dengan lebih cepat.
Selain itu, kesalahan penyalahgunaan gambar di media sosial juga boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan iaitu:
1. Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyebut:
Mengaibkan kehormatan orang lain dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat (gesture), atau menunjukkan apa-apa benda dengan maksud perkataan atau bunyi didengar, atau supaya isyarat atau benda itu oleh dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu.
Contoh: Lelaki mengaibkan kehormatan teman wanitanya dengan cara mengubahsuai gambar mangsa sebagai perempuan sundal.
Hukuman: Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
2. Seksyen 292 Kanun yang sama pula menyebut:
Memiliki, mengagihkan atau menayangkan bahan lucah.
Hukuman: Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya.
KANAK-KANAK
Kanak-kanak mengikut Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 adalah merupakan lelaki/perempuan yang berumur 18 tahun ke bawah, kini turut menjadi mangsa dalam isu penyalahgunaan gambar di platform media sosial.
Kita boleh rujuk kepada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Seksyen 8 (a) Akta ini menyebut:
Mana-mana orang yang bertukar-tukar, menerbitkan, mencetak, menghasilkan semula, menjual, menyewakan, mengedar, menunjukkan, mengiklankan, menghantar, menggalakkan, mengimport, mengeksport, menyampaikan, menawarkan atau menjadikan tersedia, mengikut apa-apa cara, apa-apa pornografi kanak-kanak.
Hukuman: Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 3 sebatan.
Seksyen 10 Akta ini menyebut:
Mana-mana orang yang mengakses, atau mempunyai dalam milikan atau kawalannya, apa-apa pornografi kanak-kanak.
Hukuman: Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya.
Sebagai contoh, apabila seseorang itu sendiri dengan secara sedar mengakses dan tahu beliau sedang melihat pornografi kanak-kanak dari mana-mana laman, maka beliau bersalah di bawah seksyen ini.
Perlu diingatkan apabila seseorang mahupun kenal atau tidak dikenali menghantar gambar/video pornografi kanak-kanak melalui aplikasi WhatsApp anda, jika anda lihat dan tahu ianya mengandugi pornografi kanak-kanak dan terus menghapuskannya, anda tidak bersalah di bawah seksyen ini. Tetapi jika anda terus menerus melihat dan menyimpan video tersebut, anda bersalah di bawah seksyen 10 ini.
Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar lebih ketat memantau penggunaan gajet oleh anak-anak terutamanya ketika mereka tidak bersekolah pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa pedofilia.
Recent Comments