fbpx

Tips & Kriteria Yang Boleh Dipertimbangkan Dalam Pemilihan Kontraktor

by | Jun 9, 2023 | Business, Contracts, Featured, Law

Dalam proses pembinaan sesuatu bangunan, kontraktor bertanggungjawab untuk reka bentuk berdasarkan bajet, kualiti, dan tempoh yang dipersetujui, dan menyediakan pelan lukisan rumah yang sesuai untuk dihantar kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan permit rumah. Apabila rumah siap dibina, arkitek akan mengeluarkan “Certificate of Completion and Compliance” (CCC) yang menandakan rumah tersebut selamat untuk didiami.

 

Setiap individu yang menandatangani sesuatu perjanjian kontrak antara satu sama lain mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untuk memenuhi tanggungjawab masing-masing sepertimana yang dipersetujui dan sepertimana yang termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani tersebut. Oleh yang demikian, apa akan terjadi jika salah seorang daripada pihak yang berjanji tidak melaksanakan tanggungjawabnya? Seksyen 53 Akta Perlindungan Pengguna 1999 ada memperuntukkan tentang perkhidmatan yang dibekalkan kepada pengguna, mestilah dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah. Jadi, jika seseorang kontraktor itu lari, seksyen ini boleh digunapakai oleh klien-klien yang mendapati hak mereka tertindas akibat perbuatan cuai pihak kontraktor.

 

“Jika hak saya dilindungi, di mana saya boleh buat tuntutan?”

 

Klien-klien yang teraniaya akibat perbuatan cuai kontraktor boleh menuntut hak mereka di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Anda boleh memfailkan tuntutan anda dengan melampirkan bukti-bukti lantikan dan bayaran yang telah dibuat sebagai asas kepada tuntutan. Namun, tuntutan di Tribunal Pengguna Malaysia hanya boleh dibuat jika tuntutan tidak lebih RM50,000.00. Jika lebih daripada RM50,000.00, maka pilihan lainnya ialah dengan melantik peguam, apatah lagi melibatkan kes-kes yang rumit.

 

Oleh itu, untuk mengelakkan hal-hal penipuan, terdapat beberapa tips dan juga kriteria yang boleh dipertimbangkan dalam pemilihan kontraktor misalnya seperti yang berikut:

 

  1. Berdaftar dengan SSM.

Sangat penting sebenarnya untuk kita pastikan kontraktor itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Nombor SSM ini boleh dikatakan sebgai ID syarikat. Jadi, sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, sebagai klien, kita boleh membuat aduan ataupun laporan polis dengan merujuk kepada nombor pendaftaran syarikat tersebut. Maka, segala kertas kerja dan kontrak perjanjian dengan kontraktor akan ada nombor SSM dan bayaran akan disalurkan ke akaun rasmi syarikat, dan bukannya akaun peribadi kontraktor tersebut. Semestinya, semua ini adalah bertujuan memastikan kontraktor dapat dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang perkara yang boleh merugikan klien, di mana akibat daripada kecuaian kontraktor itu sendiri.

 

  1. Berdaftar dengan CIDB

Selain daripada berdaftar dengan SSM, kontraktor yang dilantik sebaiknya mempunyai sijil sah Construction Industry Development Board (CIDB). CIDB ini secara umumnya adalah badan khas yang memantau semua kerja-kerja pembinaan di Malaysia. Oleh sebab itu, kontraktor yang ingin membuat kerja-kerja pembinaan wajib mempunyai sijil CIDB ini. Dalam erti kata lain, kontraktor yang mempunyai sijil CIDB boleh dikatakan sebagai kontraktor yang mempunyai usaha untuk meyakinkan klien-kliennya dan lebih mudah untuk mereka dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku apa-apa situasi kecuaian mahupun penipuan. Jadi, syarikat mereka lebih dipercayai dan kurang risiko untuk berlakunya situasi penipuan dan sebagainya.

 

  1. Sebutharga disediakan

Kebanyakan kontraktor yang lari, tipu dan sebagainya kadang-kadang berpunca dari perjanjian yang dibuat secara tidak formal, melalui kata mulut semata-mata, tanpa menyediakan sebarang sebutharga bagi kerja-kerja pembinaan yang ingin dilaksanakan. Kebiasaannya, apabila mengupah kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan SSM dan mempunyai sijil CIDB, mereka akan menyediakan satu kontrak perjanjian untuk ditandatangani oleh klien, dan akan disertakan dengan satu sebutharga mengikut standard perniagaan. Sebagai klien, sebutharga yang disediakan oleh pihak kontraktor selalunya adalah ibarat satu kontrak perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak yang mana jika berlaku kecuaian dan sebagainya, pihak yang melakukan kecuaian dan pengabaian tugas tersebut boleh dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang.

 

  1. Perubahan Kerja (Variation Order)

Selain sebutharga dan juga kontrak yang disediakan oleh pihak kontraktor, klien juga perlu cakna tentang perubahan kerja atas ‘variation order’ dalam perlaksanaan sesuatu projek pembinaan. Perubahan Kerja atau VO bermaksud, berlaku sebarang perubahan, pertukaran, pertambahan atau pengurangan keatas skop kerja asal yang terdapat projek tersebut yang mana akan berlaku pertambahan atau pengurangan kos asal kontrak selain tempoh masa penyiapan kerja akan bertambah daripada tempoh siap asal. Buat makluman umum, kontraktor-kontraktor yang tidak bertanggungjawab sebenarnya banyak menggunakan alasan perubahan kerja ini.  Oleh sebab yang demikian, sekiranya ada sebarang penambahan dan perubahan skop kerja, kesemuanya perlu dibuat secara bertulis, dan bukan hanya melalui kata bual semata-mata, bagi mengelakkan situasi klien menjadi mangsa penipuan pihak kontraktor.

 

  1. Kontraktor berpengalaman

Sangat penting untuk kita mencari kontraktor yang berpengalaman dan bukan jenis tangkap muat. Pengalaman akan membezakan kualiti kerja-kerja pembinaan yang bakal dilakukan. Jadi, sebelum melantik, amatlah digalakkan untuk melakukan sedikit pencarian latar belakang ataupun ‘background check’ profil kontraktor tersebut. Klien boleh membuat carian di internet, sosial media dan sebagainya untuk melihat terlebih dahulu hasil kerja yang pernah diselesaikan oleh kontraktor tersebut dan membuat perbandingan dengan beberapa kontraktor lain sebelum memuktamadkan pilihan.

 

  1. Mempunyai cara hubungi yang jelas dan tepat

Kontraktor yang berdaftar dengan SSM dan mempunyai sijil CIDB selalunya tidak akan mempunyai masalah untuk dihubungi. Namun, bagaimana pulak dengan kontraktor-kontraktor yang tidak berdaftar? Jika masih ingin menggunakan khidmat mereka, sekurang-kurangnya, kita perlu memastikan kontraktor ini mempunyai alamat premis urusniaga yang tepat samada pejabat mahupun rumah. Segala maklumat dan butiran terkini kontraktor yang dilantik perlu diambil maklum, dan pastikan juga nombor telefon yang diberi, alamat serta butiran-butiran lain adalah sah dan dapat dihubungi. Jika mudah untuk dihubungi, maka mereka adalah kontraktor yang boleh dipercayai.

 

Oleh yang demikian, boleh dikatakan isu-isu seperti kontraktor lari, projek terbengkalai, kerja yang tidak mengikut standard piawaian yang mencukupi dan sebagainya lebih mudah terjadi apabila pemilihan kontraktor dibuat secara sambil lewa, tanpa membuat penilaian secara menyeluruh. Kriteria-kriteria yang disenaraikan di atas amat penting untuk diambil kira bagi mengelakkan kerugian kepada diri sendiri pada masa akan datang, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, kerana pada waktu itu, nasi sudah pun menjadi bubur.

 

Disediakan oleh:

Fathin Sorfina bt Mohamad Hussin

Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-undang & Shariah, USIM.

 

Share This