Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021: Menyelesaikan Kemelut Gangguan Seksual

by | Oct 1, 2022 | Featured, Law

Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021:Menyelesaikan Kemelut Gangguan Seksual   

Oleh: Nur Dhia Almas binti Muhamad Aizam

Pelajar Praktikal, Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan.

 

Pernyataan Masalah

1. Pada mangsa

    • Pada kebiasaannya, mangsa gangguan seksual sering takut dan malu untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa. Hal ini kerana apabila seseorang mengalami gangguan seksual, ini melibatkan maruah, bukan sahaja mangsa tetapi keluarga mangsa. Tambahan lagi, apabila aduan polis dibuat, dan kes dibawa ke mahkamah, sesi perbicaraan akan dibuat secara terbuka.

 

    • Selain daripada itu, ada budaya ‘victim blaming’ yang berleluasa di mana mangsa akan dipersalahkan contohnya kerana cara pemakaian yang dikatakan tidak menutupi aurat, lokasi yang dikunjungi dikatakan tidak sesuai untuk mangsa dan sebagainya. Walhal, perkara yang dilakukan oleh pemangsa yang patut dikatakan satu kesalahan yang patut dihakimi kerana tidak dapat mengawal nafsu. Budaya lain yang juga wujud adalah budaya rape jokes dimana dalam kebanyakan kes, para lelaki akan menjadikan wanita sebagai bahan untuk membuat jenaka yang berbaur lucah. Wujudnya budaya-budaya ini menambah lagi kepada ketakutan mangsa untuk maju kedepan membuat aduan. Sekiranya perkara ini diketahui oleh lelaki-lelaki yang dikenalinya, mangsa bimbang dijadikan bahan jenaka lucah mereka.

 

    • Ini telah terjadi dalam kes seorang pelajar sekolah bernama Ain Husniza di mana beliau telah berani untuk bersuara mengenai percakapan seorang guru lelaki di sekolahnya yang merupakan rape jokes yang jelas malah seolah olah menggalakkan pelajar-pelajar lelaki untuk merogol. Guru tersebut menuntut bahawa percakapannya hanyalah sebagai jenaka tetapi jenaka tersebut telah memberi kesan yang buruk, pertama kepada pelajar perempuan yang berasa tidak selesa dengan kata-katanya dan kedua, juga telah merosakkan minda para pelajar lelaki yang mudah dipengaruhi. Ain dikatakan telah membuat laporan kepada kaunselor dan guru kelas namun laporan tersebut diendahkan atas alasan itu perkara biasa dalam kalangan lelaki. Ini bermakna, budaya-budaya yang dinyatakan di atas memang wujud dan dianggap sebagai suatu kebiasaan. Ain dan ayahnya kemudian membuat laporan polis terhadap guru lelaki tersebut dan pelajar lelaki yang berkata mempunyai niat untuk merogol ain. Tetapi, malah pihak polis tidak mengambil sirius laporan tersebut. Perkara ini dan beberapa perkara yang berlaku selepas itu juga adalah bukti kewujudan budaya victim blaming di mana mereka menyalahkan Ain kerana membuat tiktok yang dikatakan memalukan nama sekolah, walhal perkara yang dilakukan oleh guru lelaki tersebut adalah sirius dan dapat mencemarkan lagi imej institusi pendidikan.

 

    • Rentetan daripada itu, apabila aduan tidak dibuat, pemangsa bebas untuk mengulangi gangguan seksual terhadap mangsa pada masa hadapan. Ini berbahaya untuk mangsa tersebut, kerana pemangsa tidak dikenakan apa-apa tindakan.

 

2. Pada pihak berkuasa

    • Pada kebiasaannya, aduan tentang gangguan seksual akan dibuat kepada pihak polis. Namun, kadang kala mereka merasakan bahawa aduan berkaitan gangguan seksual adalah biasa dan tidak begitu sirius. Ini juga saling berkait dengan budaya victim blaming yang wujud di mana mangsa takut untuk membuat aduan kepada pihak polis.

 

3. Pada undang-undang

    • Terdapat beberapa undang-undang yang terpakai untuk gangguan seksual di Malaysia tetapi tiada satu undang-undang yang spesifik untuk gangguan seksual sahaja. Antara undang-undang yang sedia ada adalah Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Namun undang-undang ini terhad kepada golongan yang telah ditetapkan dalam akta tersebut sahaja. Sebagai contoh, Akta Kerja cuma terpakai kepada hubungan pekerja dan sahaja sedangkan gangguan seksual bukan sahaja berlaku di tempat kerja. Oleh itu, tiada undang-undang yang dapat merangkumi gangguan seksual secara amnya.

 

    • Dalam pada itu, kesalahan di bawah Kanun Keseksaan mempunyai beban pembuktian yang tinggi iaitu ‘beyond reasonable doubt’. Ini membuatkan lebih sukar untuk pihak pendakwaan membuktikan kesalahan gangguan seksual yang berlaku. Hukuman yang diberikan juga adalah tidak setimpal kerana tiada halangan untuk pemangsa untuk mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

 

    • Selain daripada itu, kes Mohd Ridzwan bin Abdul Razak v Asmah bt Hj Mohd Nor [2016] 4 MLJ 282, menjadi kes yang memperkenalkan tort of sexual harassment di mana Mahkamah Persekutuan memberi award RM100,000 in gantirugi am and RM20,000 in aggravated and exemplary damages. Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar dalam kes ini mengatakan bahawa

“Sexual harassment is a very serious misconduct and in whatever form it takes, cannot be tolerated by anyone. … Perpetrators who go unpunished, will continue intimidating, humiliating and traumatising the victims thus resulting, at least, in an unhealthy working environment”.

Kes ini adalah sangat penting kerana ia membenarkan mangsa gangguan seksual untuk menuntut ganti rugi sekiranya mempunyai bukti yang kukuh. Mahkamah Persekutuan dalam kes ini juga menyatakan bahawa mangsa tidak perlu membawa keterangan pihak ketiga kerana kes gangguan seksual selalunya berlaku dalam keadaan tertutup. Namun, kelemahan meneruskan kes sivil adalah ia mengambil masa yang lama serta menambah kos pengadu.

Apakah kesan rang undang-undang ini terhadap permasalahan tersebut. Adakah undang-undang ini dapat mengatasi masalah-masalah yang dinyatakan?

1. Seksyen 2 RUU Antigangguan Seksual 2021 adalah lebih luas dan merangkumi segala situasi dan cara dimana gangguan seksual mungkin berlaku. Gangguan seksual dapat didefinisikan sebagai apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya. Kesannya setiap jenis gangguan seksual dapat dituntut di bawah undang-undang ini. Tambahan lagi, Seksyen 2 juga memberi definisi pengadu iaitu seseorang yang memulakan suatu prosiding di hadapan Tribunal supaya suatu perkara diuruskan oleh Tribunal. Berbeza dengan undang-undang terpakai sebelum ini dimana apa yang dianggap gangguan seksual adalah terhad kepada beberapa jenis sahaja dan dapat dituntut hanya oleh sebahagian orang sahaja contohnya orang-orang yang berada di dalam sektor pekerjaan di bawah Akta Kerja 1950.

 

2. Penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual di bawah Seksyen 3 RUU Antigangguan Seksual 2021. Berdasarkan Seksyen 7, Tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan apa-apa aduan gangguan seksual yang dibuat oleh mana-mana orang. Tribunal ini, selain anggota-anggota yang dilantik oleh Menteri, terdiri juga daripada orang-orang yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara yang berhubung dengan gangguan seksual. Oleh itu, Tribunal ini merupakan pihak berkuasa yang pastinya dapat menangani permasalahan gangguan seksual dengan baik tanpa terjebak dengan budaya seperti victim blaming atau rape jokes. Hal ini kerana mereka mempunyai kepakaran dan mereka faham akan perkara yang dilalui oleh mangsa. Ini dapat mengatasi masalah pengurusan mangsa gangguan seksual oleh pihak berkuasa seperti polis yang tidak begitu sensitif dengan keadaan mangsa. Tribunal, berdasarkan Seksyen 20 boleh dalam membuat award, membuat satu atau lebih perintah iaitu membuat pernyataan permohonan maaf kepada pengadu, atau sekiranya aduan berkaitan dengan kelakuan yang dilakukan di khalayak ramai, menyiarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu atau perintah untuk responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak boleh melebihi RM 250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu berkenaan dengan perbuatan gangguan seksual. Kerosakan ini termasuk juga keadaan pengadu kesan daripada gangguan seksual tersebut seperti perasaan malu dan tertekan. Tambahan pula, berbanding dengan jumlah pembayaran yang harus dibuat oleh pesalah di mahkamah untuk kes jenayah yang akan diberikan kepada mahkamah itu sendiri, aduan dibuat di bawah Tribunal, sekiranya award yang diberikan adalah pampasan, wang pampasan ini akan diberikan kepada pengadu. Selain itu, Tribunal juga boleh membuat perintah bagi pihak-pihak untuk menghadiri apa-apa program sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Tribunal. Sekiranya responden gagal untuk mematuhi award yang diberikan oleh Tribunal, ini dianggap satu kesalahan di bawah Seksyen 21(1) RUU Antigangguan Seksual 2021.

 

3. Seksyen 9 RUU Antigangguan Seksual 2021 menetapkan bahawa dalam menjalankan prosiding, Tribunal hendaklah mempunyai kuasa untuk (a) membuat perintah interlokutori. Perintah interlokutori didefinisikan dalam Seksyen 2 sebagai suatu perintah yang dibuat menurut suatu aduan gangguan seksual kepada Tribunal dalam perjalanan apa-apa prosiding Tribunal dan bersampingan dengan tujuan utama prosiding itu, dan termasuklah apa-apa arahan tentang perjalanan prosiding itu, tetapi tidak termasuk apa-apa perintah separa atau interim yang membuat suatu penentuan muktamad berkenaan dengan prosiding itu. Ini bermaksud Tribunal mempunyai kuasa untuk membuat perintah seperti halangan untuk responden berada berdekatan dengan pengadu semasa tempoh prosiding dijalankan.

 

4. Selain daripada itu, beban pembuktian yang termaktub dalam Seksyen 9(5) adalah berdasarkan imbangan kebarangkalian ‘balance of probabilities’. Ini bermakna beban pembuktian bagi pihak pengadu untuk membuktikan kes adalah ringan. Berbanding dengan sebelum ini sekiranya pengadu membawa kes ke mahkamah di bawah undang-undang jenayah, beban pembuktian adalah ‘beyond reasonable doubt’ yang mana lebih sukar untuk dibuktikan.

 

5. Seksyen 12 RUU Antigangguan Seksual 2021 mengandungi perkara mengenai persidangan Tribunal. Subseksyen (2) menetapkan bahawa panel bagi setiap persidangan hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang wanita. Hal ini penting bagi mewujudkan rasa simpati kepada mangsa. Tambahan lagi, apabila mangsa gangguan seksual adalah seorang wanita, pengadu akan berasa lebih selamat dan rasa takut dapat dikurangkan dalam mahkamah. Kes gangguan seksual adalah sensitif kepada para pengadu, jadi langkah-langkah kecil seperti ini sangatlah penting untuk kebajikan pengadu.

 

6. Mengikut Seksyen 14 RUU Antigangguan Seksual 2021, semua pendengaran di hadapan Tribunal hendaklah tertutup kepada orang awam. Ini adalah suatu peruntukan yang dapat mengatasi masalah kekurangan privasi bagi pihak mangsa atau pengadu. Ini akan membenarkan para mangsa untuk menjadi lebih berani untuk membuat aduan tentang gangguan seksual yang telah dialaminya. Tambahan lagi, maklumat kes gangguan seksual pengadu akan kekal sulit antara pengadu, responden dan Tribunal Antigangguan Seksual 2021.

 

7. Mengikut Seksyen 19 RUU Antigangguan Seksual 2021, Tribunal hendaklah membuat awardnya tanpa kelengahan dan, jika dapat dilaksanakan, dalam masa enam puluh hari dari hari pertama pendengaran di hadapan Tribunal bermula. Ini bermaksud membuat aduan kepada Tribunal tidak mengambil masa yang lama. Ini boleh dibandingkan dengan KPI(Key performance indicator) mahkamah yang meletakkan masa sembilan(9) bulan untuk kes selesai. Dengan ini, masa pengadu dapat dijimatkan.

 

8. Seksyen 13(2) RUU Antigangguan Seksual 2021 menyebut bahawa tiada pihak boleh diwakili oleh seorang peguambela dan peguamcara pada sesuatu pendengaran. Seksyen 13(3) seterusnya menyebut sekiranya pihak merupakan seorang yang belum dewasa atay mana-mana orang yang tidak berupaya, pihak boleh diwakili oleh sahabat wakil atau penjaga ad litemnya. Ini bermaksud, kos membuat aduan kepada Tribunal Antigangguan Seksual adalah lebih rendah kerana tiada keperluan untuk pengadu membayar fi peguambela dan peguamcara.

 

Kesimpulan

 

Lulusnya Rang Undang-Undang ini adalah satu perkara yang patut disambut baik. Hal ini kerana dengan adanya undang-undang ini, kes-kes gangguan seksual dapat diatasi dengan baik. Undang-undang ini juga menunjukkan betapa seriusnya masalah gangguan seksual di negara kita dan harus dibasmi secepat mungkin. Hal ini pastinya dapat mengelakkan kekerapan berlakunya gangguan seksual kepada sesiapa sahaja pada masa hadapan. Tambahan lagi, para pengadu tidak lagi perlu takut untuk membuat aduan kerana privasi pengadu terjaga. Oleh itu, undang-undang Antigangguan Seksual 2021 ini sememangnya dapat menangani isu gangguan seksual yang semakin berleluasa pada masa ini.

Share This