URUS HARTA BERSTATUS TANAH PENEMPATAN BERKELOMPOK DENGAN BIJAKSANA DAN HIKMAH AGAR KELAK TIDAK MERACUN DIRI DAN ANAK-ANAK.
Semalam saya didatangi seorang anakguam yang mengadu kakaknya sudah failkan Writ Saman di Mahkamah untuk menghalaunya dari tanah milik arwah ayahnya yang merupakan seorang peneroka Felda. Ya. Kakak kandungnya.
Untuk rekod anakguam saya ini rumahnya di sebelah rumah arwah ayahnya di atas tapak tanah rumah arwah ayahnya dulu. (Memang jadi kebiasaan peneroka ini akan ramai-ramai anak-beranak bina rumah sebelah menyebelah di atas tapak tanah yang sama).
Manakala kakaknya pula sudah duduk di luar kawasan berpindah mengikut suaminya.
Bila diselidiki saya dapat tahu bahawa arwah ayahnya telahpun buat pertukaran pindahmilik tanah kebun sawit 10 ekar dan tanah tapak rumah kepada kakaknya ini.
Tetapi pada masa yang sama menurut anakguam, arwah ayahnya juga ada mengadu di pejabat Felda untuk membatalkan pindahmilik itu dan sebenarnya berniat untuk memberikan tanahnya kepada semua anak-anaknya. Sampaikan arwah ayahnya telahpun membuat satu laporan polis kononnya beliau telah diperdayakan waktu tandatangan borang pindahmilik.
Sayang…arwah ayahnya tidak tahu proses sebenar apa yang patut dilakukan.
Dalam waktu kecelaruan ini ayahnya meninggal dunia.
Sekarang masalah telah timbul. Si kakak hendak ‘menghalau’ si adik dari tanah pusaka ayahnya.
Sayang….
Pada saya semua ini tidak akan berlaku sekiranya:
1. Si Ayah zahirkan niat dalam satu dokumen seperti satu Surat Ikatan Hibah dan maktubkan dia menghadiahkan tanahnya kepada salah seorang anaknya; atau
2. Si Ayah tahu kemana proses yang sepatutnya dia pergi untuk batalkan pindahmilik sekiranya betul dia diperdayakan; atau
3. Si Ayah urus betul-betul hartanya dengan berpandukan semua keperluan yang ada dalam Kanun Tanah Negara, Akta Penempatan Berkelompok dan akta-akta lain yang terpakai; atau
4. Si Ayah bertemu dengan pegawai-pegawai di pejabat pengurusan Felda untuk dapatkan khidmat nasihat sewajarnya sebelum lakukan sebarang pindahmilik; atau
5. Si Ayah ada didedahkan dengan ilmu pengetahuan dari pihak-pihak yang mempunyai pengalaman dalam undang-undang berkaitan hartanah dan pewarisan.
Atau semua di atas…
Kalau tiada salah satu di atas…
Sayang…
Sekian,
Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
Loyar Kampung
~~
“Family is the foundation that nourishes our hearts and souls. In the mosaic of life, they are the precious pieces that fit perfectly, bringing warmth, love, and belonging. Cherish your family, for they are the true wealth that no amount of riches can ever replace.”
Recent Comments