Kematian pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dapat dijangka. Apabila berlaku kematian, apa yang ada di dunia ini akan ditinggalkan oleh si mati termasuklah tanggungan, harta dan juga hutang-hutang. Tanggungan perlu diteruskan nafkahnya, harta perlu diuruskan dan hutang-hutang perlu dilangsaikan. Ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh waris sesudah selesai pengebumian si mati.
Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh waris?
- Kumpulkan hutang-hutang dan Amanah si mati
Waris hendaklah mengumpulkan hutang-hutang dan juga Amanah si mati. Kebiasaannya, waris yang paling terdekat dengan si mati mengetahui hutang-hutang dan Amanah yang dibuat oleh si mati. Sebagai contohnya sekiranya kematian melibatkan suami, isteri akan mengetahui apakah hutang-hutang suami dan sekiranya ada Amanah yang suami telah buat semasa hayatnya. Hutang-hutang adalah termasuk hutang dengan pihak bank atau dengan individu. Amanah pula adalah seperti wasiat, hibah dan lain-lain.
- Senaraikan Aset-aset si mati
Langkah seterusnya adalah dengan menyenaraikan aset-aset si mati. Pada peringkat ini, maklumat atau dokumen-dokumen harta termasuklah harta alih seperti kereta, akaun bank, simpanan, polisi insurans, saham, barang kemas dan sebagainya serta harta tak alih seperti rumah dan tanah perlu dikenalpasti dan dikumpulkan. Semasa peringkat inilah harta yang termasuk di dalam Amanah si mati di dalam Langkah Satu akan diketepikan terlebih dahulu.
- Pengumpulan dan perbincangan waris
Seterusnya, waris tersebut boleh mengenalpasti dan mengumpulkan waris-waris simati untuk membuat perbincangan berkenaan harta-harta, hutang dan Amanah si mati. Di akhir perbincangan, persetujuan perlu diperolehi berkenaan waris yang bakal menjadi Pentadbir harta si mati dan juga pembahagian harta pusaka si mati. Harta pusaka yang dimaksudkan di sini adalah baki harta setelah ditolak hutang, Amanah dan merupakan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka. Harus diingatkan bahawa bukan semua baki harta tersebut merupakan harta pusaka.
- Berjumpa Peguam untuk menguruskan Pelantikan Pentadbir
Langkah seterusnya adalah bakal Pentadbir akan berjumpa dengan Peguam untuk menguruskan dokumentasi berkenaan perlantikan Pentadbir. Permohonan Perlantikan Pentadbir akan dibuat di Mahkamah atau di Pejabat Pusaka Kecil bergantung kepada jumlah harta. Semasa berjumpa dengan Peguam, bakal Pentadbir boleh berbincang dan memaklumkan berkenaan persetujuan pembahagian yang telah dibuat antara waris supaya Peguam dapat menerangkan proses secara keseluruhannya sehinggalah ke peringkat pembahagian. Sekiranya ada harta yang ingin dijual juga boleh dimaklumkan kepada Peguam supaya nasihat menyeluruh dapat diberikan kepada bakal Pentadbir.
Tidak dinafikan apabila berlaku kematian, waris menjadi buntu untuk mengambil apa-apa tindakan. Maka, adalah penting untuk anda mendapatkan maklumat dan nasihat yang betul supaya proses pengurusan harta si mati ini berjalan dengan lancar.
Recent Comments