fbpx

Memahami Konsep Kuasa Rundingan (“Bargaining Power”) Di Dalam Kontrak

by | Apr 17, 2023 | Uncategorized

Kuasa rundingan (“bargaining power”) merujuk kepada keupayaan pihak dalam satu kontrak untuk mempengaruhi syarat-syarat perjanjian. Ia adalah daya pengaruh yang dimiliki oleh satu pihak semasa berbincang dengan pihak yang lain. Konsep kuasa rundingan amat penting dalam undang-undang kontrak di Malaysia kerana ia mempengaruhi hasil perundingan dan syarat-syarat kontrak.
Undang-undang kontrak Malaysia mengiktiraf prinsip kebebasan berkontrak, iaitu pihak-pihak bebas untuk merundingkan syarat-syarat kontrak selagi ia tidak melanggar mana-mana undang-undang atau dasar awam.
Pada amnya, pihak dengan kuasa rundingan yang lebih besar akan mempunyai kelebihan semasa merundingkan syarat-syarat kontrak. Sebagai contoh,
1. Jika seorang pembekal mempunyai produk atau perkhidmatan yang unik yang sangat diperlukan oleh seorang pembeli, pembekal tersebut mungkin mempunyai kuasa rundingan yang lebih besar untuk menuntut harga yang lebih tinggi atau syarat yang lebih baik.
2. Jika majikan mempunyai banyak calon berkelayakan untuk dipilih bagi satu jawatan, majikan tersebut akan mempunyai kuasa rundingan yang lebih besar untuk merundingkan gaji yang lebih rendah atau syarat-syarat pekerjaan yang lebih ketat.
3. Jika kita hendak meminjam wang daripada bank, bank tidak akan membenarkan kita merunding terma perjanjian. “Take it or leave it”. Situasi ini lain jika kita meminjam 100 juta daripada bank. Dalam keadaan ini, bank lebih terbuka untuk merunding kerana kuasa runding telah berpindah kepada peminjam dan bukan lagi pada bank.
Namun, pada kebiasaannya, kuasa rundingan mungkin tidak seimbang di antara pihak-pihak, dan satu pihak mungkin berada dalam posisi rundingan yang lebih lemah. Ini mungkin berlaku dalam situasi di mana satu pihak dalam keadaan terdesak, seperti apabila mereka sangat memerlukan produk atau perkhidmatan atau apabila mereka menghadapi kesukaran kewangan. Dalam kes seperti ini, pihak dengan kuasa rundingan yang lebih besar mungkin mengambil kesempatan ke atas pihak yang lemah dan menetapkan syarat atau harga yang tidak adil. Ini boleh menyebabkan keadaan yang tidak adil dan mencipta perasaan kezaliman.
Oleh itu, amatlah penting untuk anda merunding dan mendapatkan nasihat yang terbaik semasa rundingan di jalankan. Ini kerana Mahkamah tidak akan membantu pihak yang dalam posisi rundingan yang lemah. Keberadaan di dalam posisi rundingan yang lemah BUKAN satu alasan untuk membatalkan atau melanggar kontrak.
Nik Erman Nik Roseli Commercial Lawyer

Share This