MEMANDU MABUK, MERAGUT NYAWA : SEJAUH MANA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA BOLEH BERTINDAK?

by | Nov 16, 2026 | Featured, Law

MEMANDU MABUK, MERAGUT NYAWA : SEJAUH MANA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA BOLEH BERTINDAK?

Oleh : Umiera Putri binti Mohd Rabi
Pelajar Praktikal, Amir Khusyairi & Associates, Teluk Intan

“Saya cuma minum sedikit. Saya masih lagi boleh memandu.”

Ayat ini mungkin kedengaran biasa. Tetapi bagaimana jika beberapa minit selepas itu, satu kemalangan berlaku dan seorang pengguna jalan raya kehilangan nyawa?

Pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukanlah isu baharu dalam masyarakat. Namun, isu ini semakin hangat diperkatakan berikutan peningkatan kes kemalangan yang meragut nyawa disebabkan oleh pemandu yang dibawah pengaruh alkohol. Ini boleh dilihat melalui statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, sebanyak 27 kes kemalangan maut direkodkan pada tahun 2024, sebelum meningkat kepada 31 kes pada tahun berikutnya iaitu 2025. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan mengenai tahap tanggungjawab jenayah yang sepatutnya dikenakan terhadap individu tersebut. Adakah pemandu tersebut hanya melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987? Atau dalam keadaan tertentu, adakah tindakan tersebut boleh disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan?

 

PEMANDUAN MABUK BUKAN SEKADAR “MINUM DAN MEMANDU”

Pemanduan memerlukan seseorang memberikan perhatian sepenuhnya kepada keadaan jalan raya, kenderaan lain, lampu isyarat, papan tanda dan perubahan lalu lintas. Pemandu juga perlu mempunyai kebolehan untuk membuat keputusan dalam masa yang singkat apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka.

Apabila seseorang mengambil alkohol, kesannya bukan hanya menyebabkan seseorang berasa mengantuk atau kurang stabil. Alkohol boleh menjejaskan kestabilan emosi seta menyebabkan keletihan dan rasa mengantuk. Apabila tahap kemabukan meningkat, seseorang individu mungkin mengalami penglihatan yang kabur, gangguan keseimbangan serta pengurangan keupayaan kawalan dan koordinasi motor. Selain itu, alkohol ini juga boleh menjejaskan fungsi kognitif yang ketara termasuk pertimbangan, daya ingatan sekaligus mengurangkan keupayaan seseorang untuk mengendali kenderaan dengan selamat.

Oleh sebab ini, seseorang pemandu yang memandu selepas mengambil alkohol dalam jumlah yang berlebihan mungkin tidak dapat memberikan tindak balas yang sewajarnya sekiranya berlaku perubahan lalu lintas secara tiba-tiba.

APAKAH UNDANG-UNDANG MALAYSIA MENGENAI PEMANDUAN MABUK?

Di Malaysia, Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyediakan kerangka perundangan utama bagi mengawal kesalahan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Antara peruntukan yang penting ialah Seksyen 44(1) yang menangani keadaan apabila seseorang memandu atau cuba memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian. Sebagai contoh, di dalam kes Pendakwa Raya v Cheng Yao Nan, tertuduh telah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandu melanggar pembahagi jalan dan mengakibatkan mangsa iaitu penumpang kenderaan tersebut tercampak keluar dan maut di tempat kejadian. Tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun, denda sebanyak RM 12,000 dan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh 5 tahun dari tarikh sabitan.

Seksyen 44(1) tersebut telah dipinda melalui Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan menjelaskan bahawa seseorang itu melakukan kesalahan jika memandu di jalan atau tempat awam ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga tidak dapat mengawal kenderaan dengan sewajarnya atau apabila kandungan alkohol dalam badanya melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian. Bagi kesalahan ini, jika disabitkan, pesalah boleh dihukum penjara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 bagi kesalahan kali pertama. Seksyen ini juga menjelaskan bahawa sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua dan seterusnya, hukuman yang dikenakan meningkat kepada penjara 15 hingga 20 tahun dan denda RM100,000 hingga RM 150,000.

Pindaan ini menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah khususnya apabila ia mengakibatkan kematian. Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menegaskan bahawa pindaan ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta mewujudkan kesan pencegahan terhadap orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya.

Namun begitu, adakah hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sentiasa mencukupi untuk setiap kes yang menyebabkan kematian? Ini kerana tidak semua kes adalah sama dan tidak semua pemandu yang menyebabkan kematian mempunyai kesalahan yang sama. Hal ini juga kerana akibat daripada kemalangan tersebut telah mengakibatkan keluarga mangsa kehilangan ahli keluarga mereka yang tersayang.

BOLEHKAH PEMANDU DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL ATAU DADAH DISABITKAN DENGAN KESALAHAN MEMBUNUH?

Ini merupakan soalan yang paling kontroversi dan sering diperkatakan dalam isu pemanduan mabuk. Hal ini kerana terdapat beberapa kes terkini yang dilaporkan yang mana pihak pendakwa raya telah mendakwa pemandu mabuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sebagai contoh, seorang pemandu mabuk telah didakwa melakukan kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi perbuatannya yang melanggar seorang penunggang motosikal yang merupakan pemandu p-hailing sehingga menyebabkan kematian.

Bagi kes ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mendakwa tertuduh tersebut di bawah pertuduhan membunuh. Keputusan ini dibuat berdasarkan bukti yang menunjukkan perbuatan tertuduh tersebut iaitu dengan sengaja memandu ke lorong bertentangan pada kelajuan yang sangat tinggi telah mewujudkan suatu keadaan yang amat berbahaya dan berkemungkinan besar menyebabkan kematian terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan perlu mengemukakan bukti yang menunjukkan bahawa pemandu mabuk telah memenuhi elemen-elemen yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan. Seksyen ini menjelaskan bahawa seseorang itu boleh dianggap melakukan kesalahan apabila dia mengetahui bahawa perbuatannya amat berbahaya dan berkemungkinan besar menyebabkan kematian atau kecederaan yang membawa maut, namun tetap meneruskan perbuatan tersebut tanpa alasan yang munasabah untuk mengambil risiko itu.

Jika disabitkan bersalah, seseorang itu boleh dihukum dengan hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara sehingga 40 tahun serta sebatan seperti yang dijelaskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesungguhan pihak pendakwaan untuk mendakwa pemandu mabuk di bawah Seksyen 302 ini adalah disebabkan oleh sikap pemandu tersebut yang secara sukarela mendedahkan diri mereka di bawah pengaruh alkohol dan masih memilih untuk memandu walaupun mereka sedar bahawa mereka berada dalam keadaan mabuk sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk melakukan pertimbangan ketika memandu. Hukuman yang lebih berat juga telah dikaji sebagai salah satu cara yang berkesan menanam rasa takut untuk memandu di bawah pengaruh alkohol sekaligus mengurangkan kes kemalangan disebabkan oleh pemandu mabuk.

 

APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH MALAYSIA?

Bagi menangani isu pemanduan mabuk dengan lebih berkesan, Malaysia perlu melihat isu ini bukan semata-mata sebagai kesalahan lalu lintas, tetapi sebagai satu isu keselamatan awam yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.

Pertama sekali, penguatkuasaan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol perlu dipertingkatkan secara konsisten. Sekatan jalan raya dan ujian saringan alkohol secara rawak perlu dilakukan secara lebih meluas, khususnya di lokasi dan waktu yang berisiko tinggi iaitu waktu malam dan hujung minggu. Pemeriksaan ini boleh membantu mengesan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sebelum mereka menyebabkan kemalangan. Tambahan lagi, cara ini juga telah terbukti mewujudkan kesan pencegahan dari sudut psikologi dan kehadiran pihak berkuasa secara konsisten juga meningkatkan tahap pematuhan masyarakat terhadap undang-undang. Hal ini boleh dilihat melalui peningkatan operasi lebih 1,600 sekatan jalan raya telah dilakukan oleh polis trafik di Malaysia dan hanya 949 tangkapan berkaitan kesalahan ini telah dibuat, menunjukkan peningkatan sebanyak 19 kes sahaja berbanding tahun sebelum ini.

Di samping itu, seseorang individu yang ingin mengambil minuman alkohol perlulah merancang untuk menyediakan designated driver bagi membawa mereka pulang dengan selamat berbanding memandu sendiri selepas mengambil alkohol. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kemalangan, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Di Malaysia, terdapat beberapa platform dalam talian seperti DDdrive dan Buddy Driver yang menyediakan perkhidmatan pemandu yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, penggunaan perkhidmatan ini masih kurang mendapat sambutan kerana mereka berasa kurang selesa untuk membenarkan orang yang tidak dikenali untuk memandu kenderaan mereka. Oleh itu, kerajaan perlulah meningkatkan kesedaran tentang kebaikan perkhidmatan ini dalam kalangan masyarakat supaya mereka tidak memilih untuk memandu sendiri di bawah pengaruh alkohol.

Selain itu, hak dan kepentingan keluarga mangsa perlu diberikan perhatian yang lebih besar dalam proses undang-undang. Kehilangan nyawa akibat pemanduan mabuk bukan sahaja menimbulkan kesan emosi, malah menyebabkan keluarga mangsa kehilangan sumber pendapatan dan perlu menanggung pelbagai perbelanjaan. Mereka juga perlu membayar yuran guaman untuk memulakan kes sivil sekiranya mereka ingin menuntut pampasan daripada pemandu mabuk itu. Oleh itu, satu mekanisme pampasan di dalam prosedur jenayah hendaklah diwujudkan supaya dapat memudahkan lagi kos yang perlu ditanggung oleh keluarga mangsa.

 

KESIMPULAN

Pemanduan mabuk bukan sekadar kesalahan jalan raya kerana satu keputusan untuk memandu selepas mengambil alkohol boleh membawa akibat yang serius, termasuk kecederaan kan kehilangan nyawa. Seksyen 44(1) telah menjelaskan hukuman yang berat bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kematian. Dalam keadaan tertentu pula, Seksyen 300(d) dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh menjadi relevan sekiranya fakta dan bukti yang dikemukakan menunjukkan tahap serius kes tersebut dan memenuhi elemen kesalahan membunuh. Namun begitu, setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta, keadaan dan bukti yang wujud kerana bukan setiap kemalangan maut yang melibatkan alkohol atau dadah secara automatik merupakan kes pembunuhan.

RUJUKAN

Khairulrijal R, “A-G Explains Murder Charge for Fatal Drink-Driving Crash [WATCH]” NST Online (April 3, 2026) <https://www.nst.com.my/news/nation/2026/04/1409395/g-explains-murder-charge-fatal-drink-driving-crash-watch>

Mahari H and Azmi A, “Amendment to Law on Compensation for Drunk-Driving Victims to Be Tabled This Year” NST Online (June 24, 2026) <https://www.nst.com.my/news/nation/2026/06/1471946/amendment-law-compensation-drunk-driving-victims-be-tabled-year>

Nurqalby MR, “Drink-Driving: Strong Laws, Weak Awareness, Say Experts” (April 15, 2026) <https://bernama.com/en/bfokus/news.php?id=2545106>

Pendakwa Raya v Cheng Yao Nan [2024] MLJU 1169

Public Prosecutor v Muraley a/l Chinnapayan [2023] MLJU 2890

Razali SA, “Alcohol, Drugs Push Road Deaths to 31 Last Year” NST Online (April 3, 2026) <https://www.nst.com.my/news/nation/2026/04/1409369/alcohol-drugs-push-road-deaths-31-last-year>

Saman NS@ M, “Punishment for Drunk Driving: A Study under the Malaysian Law” [2021] Asian Journal of Law and Governance 21 <https://doi.org/10.55057/ajlg.2021.3.4.3>

Zahiid SJ, “Bukit Aman Steps up Roadblocks, but Malaysia’s Drunk Driving Arrests Barely Increase” Malay Mail (July 29, 2026) <https://www.malaymail.com/news/malaysia/2026/07/29/bukit-aman-steps-up-roadblocks-but-malaysias-drunk-driving-arrests-barely-increase/229445>

 

 

[YourShortCodeName]

Recent Comments

    Follow Us On Instagram

    This error message is only visible to WordPress admins
    There has been a problem with your Instagram Feed.
    Share This